
Perhimpunan dianjurkan aktivis Kuan Chee Heng, yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, menyeru agar maruah profesion perguruan dipulihkan.
“Ramai guru hilang semangat akibat sering dipersalahkan dan berdepan tuntutan tidak munasabah daripada sesetengah ibu bapa. Ia telah melemahkan semangat mereka untuk mengajar,” katanya.
Kumpulan itu berhimpun di luar SMJK Chung Hwa Confusion, sambil memegang belon putih, sepanduk dan plakad yang membawa mesej sokongan kepada profesion perguruan.
Antara mesej yang ditulis ialah: ‘Jangan layan guru kami seperti penjenayah’ dan ‘Hormati mereka yang telah mengajar kamu.’
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Pulau Pinang turut menyokong perhimpunan itu, dengan menyeru agar layanan adil diberikan kepada guru serta dasar merotan di sekolah dikaji semula.
Setiausaha kehormat NUTP, Fadlee Ahmad, berkata kesatuan itu sentiasa mempertahankan guru yang menjadi mangsa ketika menjalankan tugas.
Beliau menambah bahawa masyarakat perlu lebih memahami peranan dan batas kuasa guru agar mereka dapat mengajar ‘tanpa rasa takut atau ragu-ragu’.
“Kita tidak mahu melihat guru digari dan dibawa ke balai polis hanya kerana menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
Fadlee berkata satu kajian semula menyeluruh terhadap dasar rotan perlu dijalankan. Jika didapati hukuman rotan perlu dikembalikan, ia mesti dilaksanakan dengan peraturan dan kawalan ketat, selaras dengan kenyataan terkini Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pesara guru, Ravinder Singh, berkata hukuman fizikal masih penting untuk mendisiplinkan pelajar, terutamanya di sekolah rendah.
Beliau mengimbas bagaimana prestasi sebuah sekolah ternama di Alor Setar merosot disebabkan kekurangan disiplin dan penguatkuasaan lemah.
“Sebaik sahaja disiplin hilang, prestasi akademik juga menurun. Sekolah tanpa peraturan ialah sekolah tanpa pembelajaran,” katanya.
Ravinder berkata beliau pernah mencuba pendekatan lembut seperti kaunseling dan nasihat, namun tidak berkesan. Hanya selepas peraturan tegas diperkenalkan, termasuk penggunaan rotan, suasana sekolah mula berubah dan bertambah baik.
Pada 6 Oktober, seorang guru dan pesara guru didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang pelajar dengan merotannya dua tahun lalu.
Choong Kean Beng, 59 tahun, yang kini telah bersara, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Saidi, manakala Lau Teik Hwa, 47 tahun, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amzar Ismail.
Choong dituduh dengan sengaja mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan merotannya di bilik disiplin sekolah pada 5.30 petang, 6 Disember 2023, manakala Lau turut didakwa mencederakan pelajar sama dengan rotan di bilik disiplin yang sama pada 4 petang, 2 Ogos 2023.