
Tunjuk perasan anjuran Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (Gegar) dan Students Against Genocide Malaysia (SAGM) itu diadakan atas solidarity dengan rakyat Palestin, dan menyaksikan beberapa peserta mempersoalkan undangan kepada Trump untuk sertai Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Peserta Himpunan Rakyat Tolak Trump berkumpul di sekitar kawasan letak kenderaan di LRT Ampang Park pada 5 petang tadi. Ia turut berakhir dengan aksi mengoyak karikatur Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Polis menganggarkan kehadiran lebih kurang 120 orang dalam perhimpunan petang tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mengucapkan terima kasih kepada penganjur perhimpunan kerana berjaya mengawal peserta dan mengikut peraturan serta arahan yang diberikan oleh polis.
“Perhimpunan ini berlangsung dengan baik dan lancar dan bersurai pada 6.45 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dengan kawalan oleh polis,” menurut kenyataan.
Terdahulu pada pagi, sekitar 100 peserta berhimpun di Dataran Merdeka bagi membantah kehadiran Trump serta solidarity dengan rakyat Palestin, anjuran Boycott, Divestment and Sanctions (BDS).
Trump dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.53 pagi tadi bagi menghadiri sidang serantau yang ke-47.
Malaysia selaku pengerusi blok 10 negara akan menjadi tuan rumah acara yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.