Asean, Fifa tandatangan pelanjutan MoU pembangunan bola sepak serantau

Asean, Fifa tandatangan pelanjutan MoU pembangunan bola sepak serantau

MoU itu ditandatangani Presiden Fifa Gianni Infantino dan Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn dengan disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presiden Fifa Gianni Infantino dan Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn bertukar MoU dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Badan induk bola sepak dunia, Fifa dan Asean memeterai pelanjutan memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan bola sepak serantau di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

MoU itu ditandatangani Presiden Fifa Gianni Infantino dan Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Asean 2025.

Dalam ucapan ringkasnya, Anwar berkata kerjasama antara Asean dan FIFA mencerminkan visi bersama untuk memperkasakan generasi akan datang menerusi sukan.

Beliau berkata pemimpin Asean komited untuk menyokong pembangunan sukan berkenaan iaitu sukan paling popular di rantau ini yang mempunyai populasi hampir 700 juta.

“Menjadi keutamaan Asean untuk membina teras pemimpin baharu, memberikan mereka pendedahan dan latihan dan saya amat berterima kasih kepada Fifa atas galakan dan sokongan.

“Anda mempunyai kepakaran dan pengalaman, dan berkongsi (kepakaran dan pengalaman) ini dengan golongan muda, terutamanya mereka daripada segmen masyarakat yang lebih miskin, belia bandar dan mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, membolehkan mereka menerima galakan, kelebihan dan sokongan yang sama,” katanya.

Fifa dan Asean kali pertama menandatangani MoU lima tahun pada 2019 di Bangkok, Thailand, menumpukan pada kerjasama untuk memanfaatkan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan sosial, gaya hidup sihat dan integriti sukan, khususnya dalam memerangi manipulasi perlawanan di rantau ini.

Kedua-dua organisasi itu kemudiannya melanjutkan MoU pada 2023 di Chiang Mai, Thailand untuk meluaskan perkongsian melangkaui 2024 untuk memasukkan inisiatif mengenai kesaksamaan jantina dan perubahan iklim, seperti membangunkan infrastruktur bola sepak berdaya tahan iklim dan program sukan kalis iklim.

Semalam Infantino mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya.

Infantino turut melancarkan padang mini di SR Sri Kelana di bawah projek Arena Fifa, yang bertujuan mewujudkan lebih 1,000 arena permainan bersaiz kecil untuk manfaat kanak-kanak di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.