
Berucap pada Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13, Trump memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menganjurkan mesyuarat tersebut dan berkata kepimpinan Malaysia mencerminkan peranan rantau ini yang semakin berkembang dalam diplomasi global.
“Mesej saya kepada negara-negara Asia Tenggara ialah AS bersama anda 100%, dan kami berhasrat menjadi rakan kongsi dan sahabat yang kuat untuk jangka masa panjang.
“Bersama-sama, kita akan mencipta kemakmuran yang luar biasa untuk negara-negara di kedua-dua belah Lautan Pasifik dan merebut peluang baharu untuk semua rakyat kita,” katanya.
Anwar, dalam ucapannya, menyambut baik komitmen Washington kepada rantau ini dan menyuarakan sokongan Malaysia pada pelan damai Gaza.
Beliau berkata inisiatif itu memberikan harapan kepada komuniti antarabangsa bahawa diplomasi masih boleh berjaya walaupun dalam konflik yang berpanjangan.
“Kami mengalu-alukan pelan komprehensif anda untuk menamatkan konflik Gaza. Ia memberikan dunia sinar harapan bahawa walaupun dalam konflik yang paling sukar diselesaikan, diplomasi dan keazaman boleh berjaya,” kata Anwar.
Beliau berkata langkah itu menekankan betapa penting iltizam politik dan dialog dalam menyelesaikan pertikaian, dan Malaysia mempercayai kepimpinan Washington dalam membantu menjamin “keamanan yang adil dan berkekalan”.
Pelan damai Trump mencadangkan 20 perkara merangkumi gencatan senjata, deradikalisasi Gaza, pengawasan antarabangsa, dan pembangunan semula.
Ia termasuk pengunduran Israel secara berfasa, pembebasan tebusan, dan tadbir urus peralihan oleh teknokrat Palestin di bawah pengawasan antarabangsa. Ia juga disertakan dengan kata dua kepada Hamas, sama ada terima atau menghadapi akibat.
Sementara itu, Trump menyifatkan perjanjian damai yang ditandatangani Kemboja dan Thailand sebagai sebahagian daripada dorongan yang lebih luas untuk menamatkan konflik di seluruh dunia, menyifatkan ia pencapaian penting dalam usaha pentadbirannya bagi mencapai keamanan global.
“Acara tandatangan hari ini satu daripada lapan konflik yang telah kami bantu tamatkan dalam lapan bulan Trump menjadi presiden.
“Ini lembaran baharu di Timur Tengah. Timur Tengah akan mencapai keamanan selepas 3,000 tahun. Ia akan menjadi keamanan yang berkekalan,” kata Trump.
Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai untuk mengekalkan gencatan senjata di sepanjang sempadan bersama, dalam majlis yang disaksikan oleh AS dan Malaysia selaku pengerusi Asean.