
Kebanyakan peserta dilihat mengibarkan bendera Palestin selain plakad berkaitan bantahan tindakan genosid, beserta laungan ‘Free Palestin’.
Acara anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu turut disertai Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta aktivis Tian Chua, yang juga bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, wakil penganjur menerusi satu kenyataan, memaklumkan himpunan tersebut yang asal bercadang untuk diadakan di Ampang Park ditukar ke Dataran Merdeka susulan penutupan jalan dan sebarang akses ke kawasan berkenaan daripada polis.
Katanya, tindakan penutupan laluan ke Ampang Park itu disifatkan sebagai tidak menghormati hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman.
Semalam, polis sekali lagi memberi amaran kepada penganjur untuk tidak meneruskan himpunan tersebut kerana lokasi yang dicadangkan itu hanya terletak kira-kira 500m dari ‘zon merah’ Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur masih berdegil.
Dalam kenyataan hari ini, Fadil mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur perhimpunan kerana berjaya mengawal peserta dan mengikut peraturan serta arahan yang diberikan oleh polis.
“Perhimpunan ini berlangsung dengan baik dan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dengan kawalan oleh polis,”katanya.
Trump dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.53 pagi tadi bagi menghadiri sidang serantau yang ke-47.
Malaysia selaku pengerusi blok 10 negara akan menjadi tuan rumah acara yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.