
Pasangan itu yang pernah melalui detik paling sukar apabila kehilangan bayi lelaki mereka akibat lemas di taska tahun lalu, kini kembali tersenyum dengan kehadiran tiga cahaya mata sekaligus — hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Bayi kembar tiga itu — Maryam Al Lubna (lahir 9.40 pagi), Maryam Al Khawla (9.42 pagi) dan Maryam Al Arwaa (9.46 pagi) — dilahirkan di Hospital Melaka semalam.
Berita gembira itu turut dikongsi Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua melahirkan rasa syukur atas kelahiran itu dan mendoakan ketiga-tiga bayi itu membesar sihat serta sentiasa disayangi.
“Ketiga-tiganya adalah bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004,” katanya.
Tunku Azizah, yang juga pengasas dan pengerusi seumur hidup TAFF, sebelum ini menawarkan rawatan IVF percuma kepada pasangan tersebut selepas tragedi yang menimpa mereka tahun lalu.
Kehilangan anak pertama Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan pada 6 Sept 2024 itu amat memilukan kerana pasangan berkenaan menunggu kehadiran zuriat selama 13 tahun.
Sejak ditubuhkan 21 tahun lalu, TAFF membantu 553 pasangan di seluruh negara yang menghadapi kesukaran mendapatkan anak melalui rawatan kesuburan.