
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga pengerusi seumur hidup yayasan itu baru-baru ini.
Pemilihan 65 pasangan itu sebagai simbolik usia baginda tahun ini.
Bertitah pada majlis itu Tunku Azizah menyatakan kesyukuran kerana TAFF yang ditubuhkan pada 2005 berjaya membantu melahirkan 143 bayi membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

“TAFF menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024 dan 65 pasangan ini bertuah melepasi syarat yang ditetapkan.
“Saya harap semua rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan Allah memakbulkan,” titah baginda yang pernah melakukan ujian IVF sebanyak 17 kali sebelum dikurniakan cahaya mata.
Antara penerima tajaan termasuk pasangan Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini dari Melaka yang kematian anak tunggal mereka akibat didera pengasuh di sebuah taska, September lalu.
Anak mereka Muhammad Al Fateh Amri adalah cahaya mata pertama pasangan itu selepas menanti hampir 13 tahun.
“Kami sebenarnya agak terkejut apabila kes kematian anak mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang dan sangat berbesar hati menerima tawaran IVF tersebut,” kata Fikry seperti dilaporkan Bernama.