
Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj bagaimanapun menegaskan mereka akan mengelak bekerjasama dengan mana-mana parti yang memainkan isu kaum dan agama.
“Isu (cadangan kerjasama dengan PN) akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang akan dipanggil untuk membuat keputusan.
“Bagaimanapun, PSM berpendirian tegas mengelak politik kaum dan agama,” katanya kepada FMT.
Jeyakumar berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan seorang pemimpin negeri PSM yang menyatakan sudah tiba masanya parti itu menerima jemputan kerjasama PN bagi memastikan perjuangan rakyat dapat diteruskan mengikut keadaan politik semasa.
Exco PSM Perak K Kunasekaran berkata parti itu wajar mempertimbangkan pembentukan pakatan pilihan raya dengan mana-mana gabungan politik, termasuk PN, sekiranya ia dapat membuka ruang lebih luas untuk memperjuangkan agenda rakyat di Parlimen dan DUN.
Kunasekaran turut menyambut baik kehadiran Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvam, dalam mesyuarat pertama bersama PN dan menyifatkannya sebagai pendekatan bijak serta matang.
Pada Ogos lalu, PSM menolak untuk menyertai gabungan longgar pembangkang yang diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sambil menyatakan pihaknya tidak selesa memandangkan banyak parti terbabit memainkan isu kaum.