
Tema yang dipilih Kuala Lumpur — Inklusiviti dan Kelestarian — memberi tumpuan kepada usaha memastikan Asean kekal bersatu, berdaya saing, dan berdaya tahan di tengah-tengah persaingan global serta ketidakpastian ekonomi.
Berucap di Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru negara anggota ‘berdagang lebih banyak sesama sendiri dan memajukan integrasi’.
Beliau berkata, blok yang bersatu memang diperlukan kerana langkah perlindungan semakin dijadikan ‘senjata terhadap negara-negara yang lebih lemah’.
Di sebalik persidangan kemuncak dan ucapan dasar, cabaran sebenar adalah menukar matlamat kepengerusian Malaysia menjadi hasil yang praktikal.
Satu tempat di mana objektif itu telah dicapai ialah di Johor, dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) menyelia beberapa inisiatif pembangunan rentas sempadan sejajar agenda Asean yang lebih luas.
Pemusatan Asean di lapangan
Malaysia menegaskan Asean tidak boleh menjadi medan pertempuran persaingan kuasa besar, dan menyeru negara anggota memupuk kerjasama dan kepercayaan bersama.
Dalam ucapan perasmiannya pada sambutan Hari Asean pada Ogos, Menteri Luar Mohamad Hasan menyeru Asean ‘menetapkan standard baharu bagi tadbir urus global’ yang dibina atas dasar inklusiviti dan kepelbagaian.
Di Johor, projek rentas sempadan telah dipaparkan sebagai contoh bagi kerjasama sedemikian.
“Saya ingin mengambil Medini Johor sebagai contoh bagaimana pembangunan rentas sempadan boleh dilakukan dengan jayanya. Ia adalah model yang boleh diikuti negara lain dalam Asean,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Idzham Hashim.
“Singapura memulakan inisiatif Sijori dengan Johor dan Riau di Indonesia. Kita dapat melihat kejayaannya diterjemahkan dalam program dan inisiatif ekonomi rentas sempadan.”
Segi Tiga Pertumbuhan Sijori — satu rangka kerja kerjasama subserantau antara Singapura, Johor, dan Kepulauan Riau di Indonesia — telah dilancarkan pada 1989 untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan, dan kesalinglengkapan industri dalam kalangan ketiga-tiga wilayah itu.
Antara keutamaan utama kepengerusian Malaysia adalah integrasi serantau yang lebih mendalam, satu matlamat dicerminkan menerusi usaha-usaha dilakukan di Johor, katanya.
“Medini sentiasa fokus untuk memanfaatkan kelebihan rentas sempadan antara Singapura dan Johor. Namun, tahun lalu adalah penting apabila kami melancarkan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ),” kata Idzham.
“Kerjasama antara dua negara adalah penting kerana ekonomi kedua-duanya mempunyai keterbatasan. Dengan menggabungkan kekuatan dan memudahkan pergerakan manusia, barangan, dan modal, kini kita sedang melihat hasil daripada usaha berkenaan.”
Beliau berkata, kesannya turut dirasai oleh mereka yang berulang-alik. Pekerja rentas sempadan yang dulunya menghabiskan masa sehingga empat jam di jalan raya kini boleh melakukan perjalanan itu dalam masa hanya lebih satu jam sahaja susulan pelaksanaan sistem yang diselarikan.
“Ini bukan sekadar menggalakkan orang untuk bekerja di sana. Ia juga membantu memberikan mereka kualiti hidup lebih baik,” katanya.
Asean kalis masa hadapan
Satu lagi tumpuan kepengerusian Malaysia ialah adaptasi dengan memastikan pertumbuhan kekal anjal dan berdaya tahan di tengah-tengah perubahan global.
“Saya rasa libat urus yang kerap amat diperlukan. Apabila kita bercakap mengenai kerjasama, kita memerlukan lebih banyak dialog antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan sektor swasta,” kata Idzham.
“Pertumbuhan tidak linear, jadi kita perlu melihat apa yang diperlukan, beradaptasi, dan menjadi lebih serba boleh.”
Beliau berkata, IIB terlibat dalam perbincangan mengenai pelaburan dan pembangunan serantau, memposisikan Johor sebagai kajian kes dalam perancangan jangka panjang dan kerjasama awam–swasta.
Agenda Asean Malaysia juga memberi penekanan terhadap kelestarian. Di peringkat serantau, blok itu telah memajukan Grid Kuasa Asean dan membangunkan rangka kerja perdagangan karbon serta penyimpanan karbon.
Di peringkat tempatan, Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai kredit karbon dan pemerangkapan karbon, selain perjanjian Zon Ekonomi Khas (SEZ), katanya.
“Inisiatif seperti Jawatankuasa JS-SEZ dan Majlis Pembangunan Bakat Johor menunjukkan komitmen kami memperkasa komuniti dan membina tenaga kerja berkemahiran,” kata Idzham.
“Cita-cita serantau ini diperkukuh oleh kepengerusian Asean Malaysia, yang menyediakan platform untuk memajukan kerjasama dan ketahanan ekonomi.”
Majlis pembangunan berkenaan, yang ditubuhkan untuk menyelaraskan tenaga kerja Johor selaras permintaan industri baharu, menghimpunkan agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan majikan swasta bagi menjajarkan program latihan dan peningkatan kemahiran.
Dari Johor ke Asean
Lebih 300 mesyuarat Asean telah diadakan di Malaysia tahun ini, termasuk Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.
Walaupun kepengerusian itu memberikan Malaysia peluang membentuk perbincangan serantau mengenai perdagangan, kelestarian, dan keselamatan, pembangunan di Johor menggambarkan bagaimana matlamat tersebut sedang diusahakan di peringkat negeri, katanya.
“Asean mempunyai 650 juta penduduk yang sangat kukuh. Majoriti mereka adalah golongan muda. Dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), rantau ini antara yang tertinggi di dunia,” kata Idzham.
“Cadangan nilai sudah tersedia. Namun, kunci ketika ini adalah kepentingan dialog untuk mempamerkan kekuatan kita, dan manfaat ditawarkan Asean kepada pelabur.”
Katanya, kepengerusian Asean Malaysia berikhtiar menukar prinsip inklusiviti dan kelestarian menjadi kemajuan yang boleh diukur di seluruh rantau. Pembangunan di Johor telah merupakan satu contoh bagaimana keutamaan berkenaan dilaksanakan di peringkat tempatan.
“Peluang dan cadangan nilai adalah sangat kukuh. Saya ingin mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk melabur di Johor dan melihatnya sebagai tempat untuk mereka berkembang.
“Ini bukan hanya berkisar untuk membawa masuk pelaburan, ia adalah mengenai kita menjadi tuan rumah kepada mereka sebagai rakan kongsi pertumbuhan.”