Syarikat AS yakin Malaysia mampu bentuk dasar AI serantau

Syarikat AS yakin Malaysia mampu bentuk dasar AI serantau

Syarikat perunding teknologi maklumat Cognizant berkata Malaysia juga harus beralih daripada menjadi pengguna AI kepada pengeluar dan inovator.

Syarikat perunding teknologi maklumat Amerika Syarikat Cognizant komited bantu Malaysia beralih daripada aspirasi kepada pecutan, meletakkan negara untuk menjadi peneraju global AI masa depan. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mampu membentuk dasar dan piawaian kecerdasan buatan (AI) serantau untuk memacu kerjasama rentas sempadan dan pembangunan bakat di Asia Tenggara dengan memanfaatkan jawatan pengerusi Asean 2025, kata Cognizant.

Syarikat perunding teknologi maklumat Amerika Syarikat itu berkata, Malaysia juga harus beralih daripada menjadi pengguna AI kepada menjadi pengeluar dan inovator AI dengan membangunkan model setempat, mempatenkan penyelesaian khusus sektor dalam bidang kekuatannya dan memupuk bakat.

“Ia boleh dicapai melalui pelan tindakan AI kebangsaan, insentif penyelidikan dan pembangunan dan pembaharuan imigresen.

“Malaysia harus menerapkan etika, keterangkuman, dan kepercayaan dalam semua inisiatif, menggalakkan literasi AI di setiap peringkat, dan memastikan penggunaan teknologi AI yang telus dan berpusatkan manusia,” katanya dalam kenyataan.

Cadangan itu adalah berdasarkan kertas putih Cognizant bertajuk ‘Menggunakan Kuasa Modal Insan Malaysia dalam Era AI’ (Unleashing the Power of Malaysia’s Human Capital in the AI Age) dikeluarkan hari ini.

Kertas putih itu menggunakan pandangan daripada tokoh perniagaan dan dasar terkemuka Malaysia untuk menetapkan keutamaan bagi pembuat dasar dan tindakan kepimpinan eksekutif bagi membantu negara menjadi peneraju AI global.

Cognizant berkata, ia komited untuk membantu Malaysia beralih daripada aspirasi kepada pecutan, meletakkan negara untuk menjadi peneraju global AI pada masa depan.

Naib Presiden Cognizant untuk Asean dan China Raya Thomas Mathew berkata Malaysia harus bergerak melangkaui daripada menjadi pengguna AI kepada menjadi pengeluar dan inovator AI untuk menerajui sektor AI.

“Dengan memperjuangkan (menyokong) tadbir urus ‘mengintegrasikan kecerdasan manusia ke dalam sistem automatik’ (human in the loop), rangka kerja data yang telus dan program literasi etika mantap, Malaysia boleh menetapkan piawaian serantau, membuktikan bahawa kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan boleh berkembang maju seiring, selain daripada mencipta dan mengeksport penyelesaian AI tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.