Jelaskan di mana menantu berada, Muhyiddin digesa

Jelaskan di mana menantu berada, Muhyiddin digesa

Ahli MT Bersatu, Saifuddin Abdullah, kata isu itu perlu diselesaikan segera kerana bimbang akan kesannya pada nama baik Bersatu.

Saifuddin Abdullah
Ahli MT Bersatu, Saifuddin Abdullah, timbulkan isu berkait menantu Muhyiddin Yassin dalam kumpulan WhatsApp parti.
PETALING JAYA:
Seorang ahli majlis tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, menggesa presidennya, Muhyiddin Yassin, menjelaskan sama ada menantunya, Adlan Berhan, sememangnya telah melarikan diri dari negara ini.

Gesaan Saifuddin agar bekas perdana menteri itu bersuara susulan kemunculan gambar-gambar Adlan yang didakwa hidup mewah di luar negara.

Saifuddin memaklumkan beliau menggesa Muhyiddin dalam kumpulan WhatsApp parti, mengatakan isu itu dibangkitkan di Parlimen sebanyak dua kali, namun tiada jawapan diberikan. Beliau berkata perkara itu dibangkitkan buat kali ketiga semalam ketika Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh, sedang berucap semasa perbahasan belanjawan.

“Beliau pun tidak menjawab,” kata Saifuddin. “Jika bapa mertua pun kelu, maka dalam isu begini, macam mana kami semua hendak menjawabnya?”

Saifuddin berkata ahli-ahli Bersatu empati dengan Muhyiddin, namun isu ini perlu diselesaikan segera kerana bimbang akan kesannya pada nama baik Bersatu.

Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Polis mengesahkan waran tangkap untuk Adlan sudah dikeluarkan. Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis dimaklumkan ahli perniagaan itu berada di luar negara.

Saifuddin ketika dihubungi berkata beliau pada mulanya tidak mahu mengulas perkara itu, tetapi akhirnya bersuara selepas melihat kritikan dalam kalangan ahli parti.

“Pagi ini, dalam beberapa kumpulan WhatsApp dalaman, ada yang menyerang Hamzah Zainudin (timbalan presiden) kerana tidak mempertahankan Muhyiddin.

“Oleh itu, saya membuat hantaran itu.”

New Straits Times baru-baru ini menyiarkan laporan mendakwa Adlan hidup mewah di sebuah negara di Timur Tengah selepas keluar Malaysia lebih dua tahun lalu. Beberapa foto yang dikongsi dengan akhbar itu didakwa menunjukkan Adlan bersama tokoh-tokoh terkemuka dari rantau itu.

Sumber beritahu NST bahawa Adlan kerap melakukan perjalanan ke negara lain, termasuk Thailand, di mana beliau dikatakan bermain golf dan mengunjungi lapang sasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.