Garis Panduan Khas 2025 perkukuh perlindungan kanak-kanak

Garis Panduan Khas 2025 perkukuh perlindungan kanak-kanak

Menteri Azalina Othman Said kata ia asas penting bagi penyelarasan amalan terbaik di seluruh agensi kerajaan, walaupun belum bersifat mengikat secara undang-undang.

AZALINA_OTHMAN
Menteri Azalina Othman Said kata Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2025 mengandungi empat komponen yang mengemas kini pendekatan sedia ada.
PUTRAJAYA:
Empat komponen utama diberikan tumpuan dalam Garis Panduan Khas 2025, bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam sistem keadilan berhubung kes kesalahan seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata empat komponen itu bertujuan mengemas kini pendekatan sedia ada, hasil sesi libat urus dan siri bengkel yang dijalankan dari Januari hingga Ogos lepas.

Katanya, empat komponen utama adalah pelaporan dan siasatan awal beretika yang meminimumkan trauma terhadap mangsa; prosedur mahkamah mesra kanak-kanak termasuk penggunaan rakaman video dan pautan langsung (live-link); pelantikan penyokong saksi atau pendamping guaman bagi membantu mangsa sepanjang proses perundangan; serta sokongan psikososial dan pemulihan pasca perbicaraan yang berterusan.

“Selain itu, garis panduan berkenaan turut menekankan keperluan latihan berkala kepada semua pihak berkaitan termasuk pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim, pegawai kebajikan serta profesional kesihatan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan semangat perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2025 di Istana Kehakiman.

Katanya, garis panduan ini asas penting bagi penyelarasan amalan terbaik di seluruh agensi kerajaan, walaupun belum bersifat mengikat secara undang-undang, dan membuka ruang kepada pewartaan sebagai tatacara mandatori pada masa akan datang.

“Semoga Garis Panduan Khas 2025 menjadi langkah besar ke arah sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan, profesional dan berpaksikan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak.

“Majlis ini bukan sekadar memperkenalkan dokumen baharu, tetapi menzahirkan komitmen bersama seluruh institusi perundangan dan pentadbiran negara untuk memperkukuh sistem keadilan yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan khususnya bagi melindungi kanak-kanak sebagai saksi dan mangsa jenayah seksual,” katanya.

Sementara itu, Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim dalam ucapannya menyeru pihak yang berkenaan menghayati dan mengamalkan garis panduan dalam melaksanakan amanah.

“Ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan rasa empati. Semoga garis panduan ini menjadi tanda bahawa keadilan ini bukan hanya ditegakkan tapi juga direalisasikan, terutama bagi mereka yang paling memerlukan perlindungan,” katanya.

Sebelum ini, Azalina mengumumkan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak (Pindaan) 2024 akan mula dikuatkuasakan pada Mac 2025.

Akta berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024 bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan.

Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.