Banjir di Perak, P Pinang, Kedah makin buruk

Banjir di Perak, P Pinang, Kedah makin buruk

Jumlah mangsa yang dipindahkan di ketiga-tiga negeri itu meningkatkan kepada 4,743 orang malam ini.

banjir taiping
Perak menjadi negeri terburuk dilanda banjir apabila jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 2,806 orang melibatkan 955 keluarga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hujan lebat berterusan di utara Semenanjung menyebabkan keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertambah memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara terus meningkat kepada 4,743 orang malam ini, berbanding 4,252 orang petang tadi.

Di Perak, jumlah mangsa banjir yang melanda empat daerah terus meningkat kepada 2,806 orang melibatkan 955 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,496 orang melibatkan 857 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Manjung iaitu di SK Pantai Remis menjadikan keseluruhan 25 PPS sedang beroperasi di Larut Matang dan Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.

Di Pulau Pinang, sebanyak tujuh PPS dibuka dengan 928 orang daripada 252 keluarga ditempatkan sehingga 8 malam ini dan jumlah itu meningkat berbanding 749 mangsa daripada 225 keluarga ditempatkan di lapan PPS petang tadi.

Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua daripada empat PPS di Seberang Perai Tengah (SPT) ditutup 7 malam tadi iaitu Dewan Banjir Guar Jering dan Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, manakala dua lagi masih beroperasi iaitu SK Guar Perahu dan SMK Permatang Pasir.

Pada masa sama, sebuah PPS baharu dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) iaitu SK Padang Menora menjadikan kini empat PPS di daerah itu termasuk SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting serta Sekolah Agama Rakyat Nyiur Sebatang yang menempatkan 734 orang daripada 200 keluarga.

Satu-satunya PPS di bahagian pulau iaitu di daerah Barat Daya pula menempatkan 24 mangsa daripada sembilan keluarga di SK Tan Sri Awang Salleh.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa tidak banyak berubah dengan 1,009 orang daripada 312 keluarga ditempatkan di lapan PPS setakat 9 malam ini, berbanding 1,007 orang daripada 311 keluarga petang tadi.

JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa itu adalah dari Kulim dan Kuala Muda.

“Sebanyak 957 orang daripada 288 keluarga di Kulim ditempatkan di tujuh PPS iaitu SMA Isaniah Jangkang, SK Pagar Museh, Dewan Orang Ramai Sungai Karangan, Surau Kampung Padang Meha, Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan SRJC Khai Min.

“Sementara itu, di Kuala Muda, sebanyak 52 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS SJKC Chong Cheng,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.