Albert Tei gagal serah dokumen ke mahkamah, beri alasan jumpa kawan di Sabah

Albert Tei gagal serah dokumen ke mahkamah, beri alasan jumpa kawan di Sabah

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata ahli perniagaan itu tahu prosedur masuk ke Sabah jika status Notis Arahan Sekatan (NAS) masih berkuat kuasa.

albert tei
Notis Arahan Sekatan (NAS) terhadap Albert Tei masih berkuat kuasa, menurut Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Imigresen Sabah menjelaskan ahli perniagaan Albert Tei dihalang masuk ke negeri itu kerana gagal mengemukakan dokumen panggilan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Pengarahnya Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata semakan mendapati Notis Arahan Sekatan (NAS) terhadap Tei masih berkuat kuasa ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dari Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang semalam.

Menurutnya, individu terbabit ketika ditemu bual pegawai di kaunter pemeriksaan memberitahu kedatangan ke Sabah untuk bertemu rakan dan cuba masuk ke negeri itu tanpa mengemukakan sebarang bukti kemasukan.

Jelasnya, mengikut NAS ditetapkan pihak berkuasa negeri individu itu hanya dibenarkan masuk bagi menghadiri prosding mahkamah.

“Oleh kerana beliau tidak mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan, pegawai bertugas telah mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM).

“Ini kerana tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat mengikut Bahagian VII iaitu Peruntukan-Peruntukan Khas Bagi Malaysia Timur dalam Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sh Sitti Saleha, individu sama pernah dibenarkan masuk pada Sept lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah.

“Hal ini membuktikan beliau sedia maklum prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berhubung status NAS dikenakan ke atas dirinya.

“Kenyataan peguam beliau, di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini yang mendakwa anak guamnya dihalang daripada hadir ke prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Tei mendakwa dirinya dihalang memasuki Sabah sehari sebelum dijadual hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bagi sebutan semula kes pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen mencari gali mineral.

Pada 22 Sept lalu, Tei turut dihalang sebaik tiba di LTAKK, sebelum dibenarkan memasuki Sabah selama dua hari bagi menghadiri prosiding mahkamahnya.

Hari ini, Tei memfailkan permohonan untuk mengenakan perintah hina mahkamah terhadap Ketua Menteri interim, Hajiji Noor, selepas didakwa dinafikan kemasukan ke negeri itu dua kali ketika ingin menghadiri prosiding kes jenayahnya.

Menurut laporan Malaysiakini, permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu melalui firma guaman Tetuan Chin Jingulam & Associates, dan akan didengar pada 24 November.

Dalam afidavit sokongannya, Tei mendakwa beliau dimaklumkan bahawa arahan melarang kemasukannya datang secara langsung daripada pejabat Hajiji atau melalui pegawai responden, seperti diberitahu pegawai imigresen semasa ketibaannya di LTAKK pada 22 Sept dan 23 Okt.

Tei didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Adun – Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin).

Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 – mengikut mana lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.