
Semasa pemeriksaan balas saman RM150 juta oleh Mahathir terhadap Perdana Menteri Anwar, Mahathir ditanya sama ada beliau bersetuju reputasinya, susulan 22 tahun memegang jawatan perdana menteri ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, bergantung pada persepsi umum terhadap kepimpinan beliau.
“Tiada diktator pernah meletak jawatan,” jawab Mahathir kepada soalan peguam, Ranjit Singh.
Ranjit kemudian bertanya: “Tetapi anda sendiri pernah menerima bahawa anda adalah seorang diktator?”
Mahathir: “Tidak, saya tidak pernah bersetuju.”
Ranjit kemudian memainkan klip video daripada suatu sidang media pada 2016, di mana Mahathir kedengaran berkata: “Mereka boleh buat apa yang saya buat. Saya juga seorang diktator sebelum ini, tetapi itu tidak mengapa. Orang ramai tidak berdemonstrasi seperti ini terhadap saya sebelum ini.”
Ditanya sama ada beliau memahami konsep menjadi seorang diktator, Mahathir menjawab: “Ya.”
Mahathir juga bersetuju dengan kenyataan Ranjit bahawa seorang diktator adalah pemimpin yang menggunakan kuasa tanpa adanya semak dan imbang, yang perlu untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
Bagaimanapun, Mahathir tidak bersetuju apabila Ranjit memetik Operasi Lalang 1987 sebagai contoh ‘kediktatoran’ beliau.
Operasi Lalang menyaksikan seramai 119 aktivis masyarakat sivil, ahli intelektual, dan ahli politik pembangkang ditahan tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang telah dimansuhkan.
Ranjit seterusnya mencabar kenyataan Mahathir, bahawa beliau tidak pernah berdepan demonstrasi besar-besaran semasa berkuasa, tidak seperti Najib Razak.
Ranjit: “Anda berkata tiada demonstrasi terhadap anda, tetapi adakah anda ingat protes Reformasi pada 1998 selepas anda memecat anak guam saya? Ada demonstrasi terhadap anda.”
Mahathir: “Saya tidak bersetuju.”
Ranjit: “Adakah anda terima bahawa hanya kerana anda meletak jawatan, itu tidak bermakna anda bukan seorang autoritarian sepanjang 22 tahun anda berkuasa?”
Mahathir: “Saya tidak bersetuju.”
Mahathir menyaman Anwar berhubung ucapan pada Kongres Nasional Khas PKR pada Mac 2023.
Presiden PKR itu didakwa mengatakan bahawa “seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan” telah mengayakan diri sendiri, keluarga, dan kroni, gagal membayar cukai, dan memindahkan dana ke luar negara. Mahathir mendakwa kenyataan tersebut ditujukan kepadanya dan bersifat fitnah.
Anwar diwakili Ranjit Singh, Alliff Benjamin Suhaimi, dan Razlan Hadri Zulkifli selaku peguam, manakala Rafique dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mewakili Mahathir.
Perbicaraan akan diteruskan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin pada 29 Okt.