
Sidang tiga hakim dipengerusikan Zaini Mazlan turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Radzi Roslan, dikenakan dua sebatan rotan.
Zaini berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan Radzi, 30, melakukan jenayah itu di rumah mangsa di Ipoh tujuh tahun lalu.
“Budak perempuan itu saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya disokong oleh bukti perubatan,” kata Zaini, yang bersidang bersama Azmi Ariffin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Beliau berkata keterangan budak perempuan itu dan ibunya juga boleh diterima, walaupun terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan mereka.
“Kami mendapati percanggahan itu tidak cukup material untuk menjejaskan kes pendakwaan.”
Zaini berkata saksi-saksi pembelaan juga gagal menimbulkan sebarang keraguan pada kes pendakwaan.
“Sabitan itu kukuh dan hukuman yang dikenakan tidaklah keterlaluan,” katanya, dan menambah sidang hakim mengeluarkan waran untuk Radzi memulakan hukuman penjara hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan wang jaminan RM15,000 dikembalikan kepada Radzi, yang kelihatan tenang ketika keputusan disampaikan. Ibunya yang berada di mahkamah kelihatan menangis.
Radzi berumur 23 tahun ketika melakukan kesalahan itu di rumah ibu bapa kanak-kanak itu, kira-kira jam 7 pagi pada 1 Jun 2018.
Mahkamah Sesyen pada 2023 menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan dia disebat dua kali.
Mahkamah juga memerintahkan Radzi diletakkan bawah pengawasan polis selama setahun selepas menjalani hukuman penjara.
Syahrul Nizam Rabi dan Izzat Fakhari Halimi mewakili Radzi selaku peguam, manakala Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail bertindak bagi pihak pendakwaan.