Kepentingan negara harus atasi pertimbangan parti, kata PM

Kepentingan negara harus atasi pertimbangan parti, kata PM

Anwar Ibrahim berkata jika kerajaan hanya fikir soal imej politik dan berlaku tidak adil kepada rakyat ia adalah bentuk salah guna kuasa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hadir penyampaian Anugerah Integriti, Governans, dan Antirasuah 2025 di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak boleh mengorbankan kepentingan rakyat hanya kerana perbezaan politik, sambil menekankan integriti dan tadbir urus mesti menjadi dasar konsisten dalam semua keputusan pentadbiran.

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (Mapin) dan penyampaian Anugerah Integriti, Governans, dan Antirasuah (AIGA) 2025, Anwar mengingatkan kepentingan negara harus mengatasi pertimbangan parti.

Beliau mengimbas keputusan kerajaan pada 2003 hingga 2004 yang membatalkan semua peruntukan sekolah agama rakyat (SAR), tindakan disifatkannya tidak adil dan menjejaskan masa depan ribuan pelajar.

“Saya masih ingat, ketika itu saya sedang berehat (dalam penjara), walaupun saya tahu ada masalah pengurusan, saya tidak bersetuju apabila ratusan ribu anak-anak menjadi mangsa kerana perbezaan pandangan politik,” katanya.

Katanya, keputusan seperti itu menunjukkan bagaimana kepentingan politik kadang kala mengatasi keadilan dan nilai moral yang menjadi asas kepada integriti pentadbiran.

“Ini soal integriti, kita mahu jaga negara atau jaga parti? Kalau kerajaan hanya fikir soal imej politik dan tidak adil kepada rakyat, itu bukan ‘governance’, itu penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Anwar berkata, sebaik kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengembalikan semula peruntukan sekolah agama rakyat, terutama di Kelantan yang banyak bergantung kepada institusi itu.

“Mereka tidak minta lebih, hanya berterima kasih apabila bantuan dikembalikan. Itulah erti sebenar Madani – adil dan ihsan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menyediakan tambahan RM30 juta hingga RM36 juta bagi membaik pulih sekolah agama daif, dengan jaminan peruntukan itu akan ditingkatkan lagi tahun depan.

“Saya sudah arahkan supaya ditambah lagi. Tadbir urus bukan soal angka atau projek semata-mata, tetapi memastikan keperluan rakyat, terutama anak-anak di desa, diberi keutamaan,” katanya.

Tiada negeri pembangkang dianak tirikan

Anwar turut menegaskan tiada negeri pembangkang dianak-tirikan daripada agihan peruntukan persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata peruntukan kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah ditambah sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.

“Itu ikut keperluan. Perlis sampai sekarang masih berdepan hasil yang sangat terbatas, termasuk dari segi gaji penjawat awam.

“Tetapi tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai oleh pembangkang di Semenanjung yang mengatakan kami dianak tiri, kami dizalimi kerana kenyataannya berbeza.

“Apa yang kita lakukan dalam beberapa tahun kerajaan Madani ini membuktikan, peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu ditambah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.