AirAsia tawar tambang RM299 untuk rakyat Sabah balik undi

AirAsia tawar tambang RM299 untuk rakyat Sabah balik undi

Penerbangan promosi itu boleh ditempah bermula hari ini hingga 26 Okt melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia Move.

AirAsia berkata tambang tetap hanya bagi penerbangan dari destinasi domestik utama ke Sabah antara 26 hingga 28 Nov dengan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan. (Gambar Air Asia)
PETALING JAYA:
AirAsia menawarkan promosi tambang tetap selama tiga hari untuk rakyat di Semenanjung pulang ke Sabah sempena PRN pada 29 Nov ini.

Dalam kenyataan AirAsia berkata, tambang tetap itu hanya bagi penerbangan dari destinasi domestik utama ke Sabah antara 26 hingga 28 Nov dengan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan.

“Terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau atau Labuan; atau dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta dari Kota Bharu dan Pulau Pinang ke Kota Kinabalu pada harga RM299 sehala termasuk semua caj.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan syarikat untuk menghubungkan komuniti dan menyokong rakyat Malaysia pada hari bermakna khususnya di Sabah yang merupakan salah satu pasaran domestik terpenting bagi AirAsia.

“AirAsia telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan ke negeri tersebut dengan menghubungkan rakyat Sabah dengan seluruh negara dan destinasi antarabangsa melalui tambang mampu milik, termasuk inisiatif tambang tetap musim perayaan dan FLYsiswa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra, berkata sebagai syarikat penerbangan pilihan semua pihaknya sentiasa bersama komuniti.

“Pilihan raya merupakan hari yang menyatukan masyarakat untuk membentuk masa depan dan inisiatif ini adalah cara kami menawarkan perjalanan mampu milik bagi rakyat untuk pulang dan mengambil bahagian.

“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam rangkaian kami dan inilah salah satu cara kami terus meraikan kembali kepada negeri ini terutama kepada rakyat dan negara,” katanya.

Penerbangan promosi itu boleh ditempah bermula hari ini hingga 26 Okt melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia Move.

Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala dan merangkumi caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api dan yuran lain berkaitan dan tertakluk kepada terma dan syarat lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.