Suspek tikam mati pelajar perempuan di sekolah didakwa esok

Suspek tikam mati pelajar perempuan di sekolah didakwa esok

Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Yap Shing Xuen
Dalam kejadian 14 Okt lalu, Yap Shing Xuen ditemukan maut dalam tandas di sekolah menengah di Bandar Utama selepas disyaki ditikam berulang kali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar akan didakwa atas tuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Damansara, minggu lalu.

Jabatan Peguam Negara berkata penelitian terhadap kertas siasatan mendapati ada asas mencukupi untuk pertuduhan terhadap pelajar terbabit dalam kejadian itu.

“Jabatan ini memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 22 Okt (esok),” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian 14 Okt lalu, Yap Shing Xuen, 16, ditemukan maut di dalam tandas di sekolah itu selepas disyaki ditikam berulang kali oleh suspek.

Polis merampas dua senjata tajam yang ditemui dalam milikan suspek, dipercayai digunakan dalam serangan itu.

Siasatan mendapati pisau dan kerambit  dibeli secara dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.