Kerjasama Petronas beri Sabah durian runtuh RM2 bilion tahun lalu

Kerjasama Petronas beri Sabah durian runtuh RM2 bilion tahun lalu

CEO SMJ Energy Dionysia Kibat berkata kerjasama itu memanfaatkan kontraktor minyak dan gas Sabah dengan agihan projek memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun lalu sahaja

Hajiji Nor Sabah
Pada 2021, kerajaan Sabah meterai perjanjian bersejarah dengan Petronas memberikan negeri suara, penyertaan, dan perkongsian hasil lebih besar dalam sektor minyak dan gas.
KOTA KINABALU:
Kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun lalu sahaja— meningkat tiga kali ganda daripada paras sebelum terbentuknya kerjasama negeri dengan Petronas, bermula empat tahun lalu.

Pada 7 Dis 2021, kerajaan Sabah pimpinan Hajiji Noor memeterai perjanjian kerjasama komersial (CCA) yang bersejarah dengan syarikat minyak negara itu memberikannya kuasa membuat keputusan, berkongsi hasil lebih besar untuk negeri dan kontraktor.

Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd Dionysia Kibat, yang bertanggungjawab menguruskan penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas memberitahu FMT, CCA telah memberikan negeri ini ‘suara, penyertaan, dan perkongsian hasil lebih besar’.

Beliau mengaitkan peningkatan perolehan kepada kontraktor tempatan terbit daripada sokongan dasar lebih kukuh, penyasaran pembangunan kemahiran, dan penyertaan tempatan mampu direalisasikan di bawah jawatankuasa kecil perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) CCA.

“Sebelum CCA, kita selalu dengar kontraktor Sabah tidak berkemampuan kerana mereka tidak mempunyai pendedahan—jadi mereka tidak boleh membida projek.

Mungkin mereka (dapat kerja-kerja kecil seperti) logistik atau katering; tetapi bukan yang memerlukan kemahiran tinggi,” katanya.

Nilai projek RM2 bilion diperoleh tahun lalu dikongsi sama rata antara kontraktor tempatan di Sabah dengan firma Sabah yang beroperasi di luar negeri.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sahaja, RM1.53 bilion nilai kontrak OGSE telah dianugerahkan kepada kontraktor berpusat di Sabah, peningkatan ketara berbanding RM613 juta untuk keseluruhan 2021.

Dionysia berkata, campur tangan dasar adalah perlu untuk memastikan penduduk Sabah tidak kehilangan peluang terdapat di negeri ini.

“Kami tingkatkan kapasiti, keupayaan. Kami pastikan tiada urusan ‘Ali Baba’,” katanya merujuk situasi di mana kontrak dianugerahkan kepada penduduk tempatan atas nama sahaja, manakala pihak luar yang sebenarnya menjalankan kerja dan mengambil untung.

Bagi memperkukuh peranan Sabah dalam rantaian nilai minyak dan gas, SMJ Energy menerajui usaha memacu penyertaan tempatan—khusus melalui Majlis Kandungan Tempatan Sabah, sebuah platform untuk pemain industri berkolaborasi, membina kapasiti, dan mendesak akses peluang lebih adil.

Dasar kandungan tempatan majlis itu menghendaki syarikat melakukan perolehan peratusan barangan dan perkhidmatan yang ditetapkan daripada perniagaan tempatan.

Dalam wawancara eksklusif itu, Dionysia berkata pemerolehan aset minyak dan gas menjadi tidak bermakna sekiranya elemen manusia diabaikan.

“Anda perlukan situasi menang-menang di mana anda menang, kontraktor anda menang, dan rakyat Sabah menang. Apabila anda mempunyai keupayaan lebih baik dan keseluruhan ekosistem maju, jadi semua orang boleh mendapat kehidupan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

CCA mewakili pencapaian penting pentadbiran Hajiji dalam usaha menuntut semula hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Kesan berganda

Perluasan peranan Sabah dalam strategi gas mencetuskan kesan berganda merentasi ekonomi lebih melata, walaupun sebahagian manfaat tidak langsung kurang ketara dan lebih sukar diukur.

“Pekerjaan membawa impak langsung, namun disebabkan pelaburan yang masuk—seperti dari Esteel Sabah dan Kibing Solar—anda juga meluaskan rantaian bekalan dan taman perindustrian.”

Esteel Sabah merupakan satu usaha niaga pengeluaran keluli utama dengan anggaran pelaburan RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), yang disokong Green Esteel Pte Ltd dari Singapura.

Kibing Solar adalah pengeluar kaca China utama yang berhasrat melabur lebih RM10 bilion dalam dua loji kaca solar di Sabah.

Contohnya, Dionysia berkata, walaupun melibatkan tugas hakiki seperti menghantar paip ke taman perindustrian akan mencetuskan keperluan untuk pelbagai perkhidmatan sokongan—dari logistik hingga komunikasi.

“Semua akan bergerak. Jadi, kesan berganda adalah signifikan, bukan sahaja daripada aktiviti besar malah yang lebih kecil,” katanya sambil menambah ia juga akan membawa peluang pekerjaan dan pendedahan tambahan kepada penduduk tempatan di kawasan sekitar.

Menurut Dionysia, SMJ bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi mewujudkan industri bernilai tinggi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Untuk projek pembangunan seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan juga SOGIP, Sabah boleh mengenal pasti jenis pelaburan yang ingin ditarik dan berbincang dengan agensi berkaitan bagi menentukan keperluan gas diperlukan oleh pelabur tersebut,” katanya.

SMJ Energy kini sedang mendapatkan penghantaran bekalan gas untuk sebuah lojinbesi briket panas bernilai RM20 bilion oleh E-Steel Enterprise Sdn Bhd (merentasi tiga fasa), dan Fasa 2 kemudahan kaca solar SBH Kibing New Solar Energy Sdn Bhd bernilai RM7.2 bilion.

Ia juga sedang menyokong pembangunan Pelan Induk Gas Sabah dengan kerjasama Petronas, selain usaha memajukan hala tuju tenaga geoterma negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.