Rayu keputusan hasil Sabah risiko gugat keharmonian, aktivis beri amaran

Rayu keputusan hasil Sabah risiko gugat keharmonian, aktivis beri amaran

James Ligunjang berkata tindakan tarik balik atau hadkan hasil bagi Sabah juga boleh beri kesan kepada parti dari Semenanjung.

James Ligunjang
Aktivitis James Ligunjang berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hak negeri itu ke atas 40% hasil persekutuan disifatkan kejayaan penting bagi menegakkan hak perlembagaan Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak Sabah memberi amaran tindakan merayu keputusan mahkamah berhubung hak negeri itu ke atas 40% hasil persekutuan berisiko menggugat keharmonian negara.

James Ligunjang yang juga bekas Adun Petagas berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Jumaat lalu itu satu kejayaan penting hasil usaha bersama Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan kerajaan negeri bagi menegakkan hak perlembagaan Sabah.

“Sekiranya Jabatan Peguam Negara meneruskan rayuan terhadap keputusan itu, ia boleh membawa kesan serius terhadap keharmonian negara,” katanya di Facebook.

Beliau turut memberi amaran cubaan membatalkan atau melemahkan keputusan terbabit juga akan memberi kesan besar kepada parti politik Semenanjung yang bertanding di PRN Sabah pada 29 Nov depan.

Menurutnya, tindakan menarik balik atau mengehadkan bahagian hasil yang wajar diterima Sabah boleh dianggap pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan — sekali gus menimbulkan rasa tidak adil dan pengkhianatan dalam kalangan rakyat negeri itu.

“Tindakan sedemikian berpotensi memperdalam rasa tidak percaya dan kebencian terhadap kerajaan persekutuan serta parti-parti politik dari Semenanjung yang cuba mendapatkan sokongan di Sabah,” katanya.

Ligunjang turut memuji pendirian tegas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor yang sentiasa memperjuangkan hak Sabah mengikut Perlembagaan.

Beliau menegaskan, jika tiada penyelesaian dicapai dengan Putrajaya, kerajaan negeri boleh menggunakan Perkara 112D(6) di bawah Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan bagi menuntut hak hasil itu secara rasmi.

“Menafikan keadilan hari ini, sama ada melalui penangguhan atau usaha membatalkan keputusan mahkamah, adalah sama seperti menafikan keadilan sepenuhnya,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

SLS memfailkan semakan kehakiman pada 2022, mendakwa kerajaan persekutuan melanggar Perlembagaan kerana gagal menjalankan semakan hasil yang wajib setiap lima tahun sejak 1974.

Ia juga berhujah kerajaan bertanggungjawab untuk remit 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada negeri itu untuk setiap tahun berkenaan.

Formula perkongsian hasil itu menjadi isu berbangkit selama beberapa dekad. Ahli politik Sabah menuntut agar kerajaan persekutuan menunaikan hak negeri itu bagi 40% daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.

Penggunaan formula tersebut digantung sejak 1974 apabila kerajaan persekutuan sebaliknya menaikkan pembayaran pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.