
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat berkata, remaja lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk tujuan itu setelah tempoh remannya berakhir esok, lapor Bernama.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya telah merakam keterangan daripada 148 individu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) pada Rabu untuk arahan lanjut.
Pada Rabu lepas, Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah reman tujuh hari terhadap suspek, yang juga rakan sekolah mangsa, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada 14 Okt lepas, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu selepas disyaki ditikam berulang kali oleh suspek.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar dilaporkan berkata, laporan awal bedah siasat mendapati mangsa maut akibat tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.