SPRM contohi Denmark, Norway kukuh pendidikan antirasuah belia

SPRM contohi Denmark, Norway kukuh pendidikan antirasuah belia

Pengarahnya berkata matlamat jangka panjang SPRM ialah menjadikan Malaysia antara 25 negara terbaik dunia dalam CPI.

macc sprm
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Ahmad Nizam Ismail berkata matlamatnya untuk menyemai nilai integriti dalam generasi muda yang juga aset masa depan negara.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah untuk belia dengan mencontohi strategi Denmark dan Norway yang mencatat skor tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ahmad Nizam Ismail, berkata pendekatan turun ke peringkat akar umbi bukan kerana belia mudah terdedah gejala rasuah, sebaliknya bagi menyemai nilai integriti dalam generasi muda yang juga aset masa depan negara.

“Usaha mendekati masyarakat ini merupakan pendekatan pendidikan pencegahan yang menekankan pembentukan karakter, bukan sekadar memberi penerangan tentang kesalahan rasuah,” katanya menurut Bernama selepas sebuah program di Kota Bharu malam tadi.

“Negara seperti Denmark dan Norway yang mencatat skor CPI tertinggi memulakan pendidikan integriti sejak di peringkat akar umbi. Jadi, kita mahu mencontohi pendekatan itu bukan hanya bercakap tentang rasuah, tetapi menyuburkan nilai murni dalam rakyat.”

Beliau berkata, SPRM mahu memastikan generasi muda dibentuk dengan nilai moral dan sahsiah tinggi untuk menjadi kelompok masyarakat berintegriti yang mampu memacu kemajuan negara.

“Ada yang beranggapan SPRM turun ke akar umbi kerana golongan ini mudah terdedah kepada rasuah, namun tanggapan itu tidak tepat. Belia ialah aset negara dan kita mahu mereka membesar dengan nilai integriti, kejujuran serta tidak mengambil hak orang lain.

“Langkah mendidik masyarakat melalui pendekatan pendidikan nilai ini juga selari pelancaran inisiatif ‘Keep Malaysia Clean’ oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1 Okt lepas sempena sambutan ulang tahun ke-58 SPRM.”

Menurutnya, matlamat jangka panjang SPRM ialah menjadikan Malaysia antara 25 negara terbaik dunia dalam CPI dengan memupuk kesedaran integriti di semua peringkat masyarakat, bermula akar umbi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.