
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mendakwa penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dipimpin Muhyiddin dan Sekretariat Orang Melayu di bawah Mahathir menunjukkan mereka seolah-olah tidak sebumbung, walaupun kedua-duanya setuju bekerjasama.
“Kalau sudah ada PN, buat apa lagi tubuh IPR dan Sekretariat Melayu? Kenapa tidak bawah satu bumbung sahaja?” soalnya dalam hantaran di Facebook.
Gerakan dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk Jun lalu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib kaum itu bawah satu ‘payung besar’.
Pengasasnya, Mahathir dilaporkan berkata, inisiatif itu langkah mengembalikan kuasa politik dan cabaran dihadapi orang Melayu, dengan perbincangannya turut membabitkan Muhyiddin dan Presiden PAS, Hadi Awang, baru-baru ini.
Pada 18 Ogos lalu, gabungan 11 parti pembangkang diketuai Muhyiddin turut menubuhkan gabungan longgar dikenali IPR bagi memperjuangkan isu rakyat didakwa gagal ditangani Putrajaya, termasuk janji reformasi yang belum dilaksanakan.
Puad berkata, langkah itu menggambarkan betapa rapuhnya perpaduan dalam kalangan pembangkang kerana wujud terlalu banyak “kepala” ingin menjadi ketua.
Katanya, walaupun PN, IPR dan Sekretariat Orang Melayu mempunyai pengemudi sama, mereka tetap gagal menunjukkan kesatuan sebenar.
“Itu namanya bersatu, tetapi berpecah. Banyak sangat kepala, ramai sangat mahu jadi ketua,” katanya yang mendakwa ia berpunca daripada kehadiran dua figura bukan Melayu, iaitu P Ramasamy dan P Waytha Moorthy yang masing-masing mengetuai Urimai serta Parti Kemajuan Malaysia.
Menurutnya, penyertaan mereka menyebabkan Muhyiddin menubuhkan IPR untuk menarik pelbagai kaum, sementara Mahathir pula mahu menambat hati orang Melayu melalui Sekretariat Orang Melayu.
“Penubuhan banyak cabang ini hanya mahu menipu rakyat.”