Kolam: Setiap butir beras tanda kesabaran, ketekunan

Kolam: Setiap butir beras tanda kesabaran, ketekunan

Kolam ciptaan Ruben Prakash mengingatkan kita bahawa setiap usaha yang mengubah kita menjadi insan lebih baik adalah bermakna.

ruben
Ruben Prakash sudah 24 tahun menekuni seni kolam.
KUALA LUMPUR:
Setiap butir beras yang ditabur dalam pembikinan ‘kolam’ umpama doa atau harapan. Ruben Prakash sedar sebaik Deepavali berakhir, ukiran yang dibentuk dengan teliti oleh ribuan butir berwarna-warni akan hilang — terselerak dan diinjak, lalu akhirnya dilupakan.

“Kami sudah mengukirnya dengan cantik, tetapi apakan daya, ia tidak boleh disimpan lama, hanya untuk sementara,” kata Ruben, artis kolam yang menekuni seni ini selama 24 tahun.

“Pun begitu kita harus lepaskan dan menanam azam untuk buat yang lebih baik pada Deepavali tahun depan.”

Kolam, yang dihasilkan dengan beras hancur atau serbuk pelbagai warna, biasanya menghiasi pintu masuk rumah dan kuil. Ia diatur untuk menyambut tetamu, menarik tuah dan mengusir tenaga negatif. Lantaran lalu lintas, kolam perlu diatur semula setiap hari, biasanya oleh wanita dalam tradisi India Selatan.

gardens
Kolam gergasi di ruang legar pusat beli-belah The Gardens menarik perhatian pengunjung.

Semestinya sesuatu sehalus ini bukan sekadar hiasan perayaan. Ia mencerminkan kehidupan: indah, rapuh, memerlukan kesabaran, dan akhirnya dilepaskan bila tiba masa. Membuat kolam yang boleh mengambil masa selama beberapa hari melatih diri mengatasi putus asa; setiap butir menyusun langkah, setiap lengkung membulat tekad dan setiap segi menajam cekal.

“Memang kita tahu ini hanyalah untuk jangka pendek, tapi kami tidak berkompromi dari segi reka bentuk, warna dan cara kita mempamerkannya. Kita tetap akan berikan yang terbaik,” kata Ruben, pemilik syarikat S4Sky.

Tahun ini, Ruben dan pasukannya kembali menghasilkan kolam untuk pengunjung The Gardens Mall, Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley, One Utama, dan pelbagai syarikat korporat. Cabaran terbesar ialah mencipta kolam unik setiap tahun, sesuatu yang dijayakan oleh dedikasi 10 pekerja tetap dan lebih 50 pekerja sambilan.

midvalley
Tahun 2025 adalah kali ke-11 syarikat milik Ruben Prakash diberi kepercayaan menghasilkan kolam sempena Deepavali di Mid Valley.

“Hari ini, kolam sudah berevolusi menjadi simbol perpaduan. Ia bukan hanya milik masyarakat India, tetapi dikongsi bersama seluruh lapisan rakyat Malaysia,” kata Maya Vinothini, seorang pereka bentuk di S4Sky.

Kevin Tharsis, ‘orang kuat’ di S4Sky, mendedahkan betapa rumit menghasilkan kolam bersaiz besar: 2-3 hari kerja, lebih daripada 60 tona warna, dan kira-kira 600kg beras hancur.

“Sebaik sahaja Deepavali selesai, beras itu kami kumpul, basuh semula dan beri pada burung. Jadi kami tidak membazir,” ujarnya.

Bagi Ruben, Kevin, dan Maya, sesuatu yang fana seperti kolam meninggalkan mesej abadi: setiap usaha yang menjadikan kita insan lebih baik adalah bermakna, selaras semangat Deepavali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.