300 liter habis diguna penerima BUDI95 dekat sempadan

300 liter habis diguna penerima BUDI95 dekat sempadan

Berdasarkan data 95% rakyat Malaysia guna tidak lebih 180 liter petrol sebulan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, berkata terdapat hampir empat bilion liter bukan digunakan isi rumah, berkemungkinan digunakan syarikat, warga asing, atau sebahagiannya diseludup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan menzahirkan kebimbangan langkah menaikan had kelayakan subsidi 300 liter di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) membuka ruang lebih banyak ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh penduduk tempatan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, berkata berdasarkan data, 95% rakyat Malaysia menggunakan tidak lebih daripada 180 liter sebulan.

Katanya, golongan habis menggunakan had bersubsidi 300 liter adalah mereka mengisi RON95 di negeri dekat sempadan.

“Apabila dianalisis, golongan telah menggunakan sepenuhnya kuota itu termasuk mereka yang mengisi petrol di negeri-negeri sempadan.

“Daripada jumlah pengguna yang telah memanfaatkan 300 liter ini, lebih 80 individu yang hanya mempunyai lesen motosikal telah menghabiskan kuota 300 liter ini.

“Ini menunjukkan bahawa mereka menggunakan motosikal lebih 500km setiap hari dalam tempoh dua minggu pertama Oktober,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

BUDI95 telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept yang menyaksikan semua rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, mempunyai MyKad dan lesen memandu yang aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan kelayakan bulanan sehingga 300 liter.

Menurutnya, apabila kerajaan menetapkan kelayakan subsidi petrol sehingga 300 liter sebulan, data statistik menunjukkan kurang 0.7% rakyat Malaysia menggunakan lebih 300 liter untuk kegunaan peribadi.

“Sebenarnya, rakyat Malaysia secara individu hanya menggunakan purata kira-kira 80 liter sebulan. Setakat ini, data yang kami peroleh menunjukkan (kuota itu) mencukupi, tetapi kami akan terus memantau keadaan.”

Sementara itu, Johan berkata kerajaan akan menyalurkan anggaran penjimatan fiskal RM2.5 bilion daripada rasionalisasi subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95 kepada perbelanjaan pembangunan dan inisiatif kebajikan.

18 juta liter RON95 setahun

Beliau berkata, pendekatan subsidi bersasar diguna pakai kerajaan bukan semata-mata langkah mengurangkan kos, tetapi memastikan dana awam digunakan lebih cekap memenuhi keutamaan pembangunan negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata isi rumah Malaysia hanya menyumbang kira-kira 78% daripada penggunaan RON95 berdasarkan data dikumpulkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Daripada 18 bilion liter yang digunakan pada setiap tahun, terdapat hampir empat bilion liter yang bukan digunakan oleh isi rumah, berkemungkinan digunakan oleh syarikat, warga asing atau sebahagiannya diseludup keluar.

“Oleh itu, 20% inilah yang menyumbang kepada penjimatan. Sekiranya kita ambil 20% daripada subsidi RON95 sebanyak RM20 bilion ditanggung kerajaan pada 2023 dan 2024, anda akan meraih penjimatan kira-kira RM4 bilion berdasarkan harga minyak yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion setahun berdasarkan harga minyak semasa tahun ini iaitu kira-kira USD60 setong (USD1 = RM4.23).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.