Wan Saiful dakwa Bersatu pertahan politik naungan

Wan Saiful dakwa Bersatu pertahan politik naungan

Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat parti berkata pimpinan tinggi tutup ruang berbeza pandangan.

wan saiful wan jan
Bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata pimpinan tertinggi parti tidak mendengar suara akar umbi yang menuntut perubahan.
PETALING JAYA:
Bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa kepimpinan tertinggi parti menggunakan kuasa mereka mempertahankan ‘feudal politik naungan’ dan menutup ruang untuk berbeza pandangan.

Pada Selasa, Bersatu bertindak memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dan empat ketua bahagian kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti. Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung atas sebab sama.

Dalam catatan di Facebook, Wan Saiful yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata ada kelompok kecil yang berkuasa dalam parti mempergunakan kedudukan dan kuasa ‘menyekat kumpulan lebih besar yang tidak mahu parti dipergunakan untuk kepentingan diri dan keluarga’.

“Situasi dalam Bersatu sementara sahaja, yang mana ia berlaku kerana dalam parti ini semakin ramai yang menuntut perubahan, tetapi pemimpin tertinggi tidak mahu berubah,” katanya.

“Malahan, pemimpin tertinggi mempergunakan kuasa untuk mempertahankan cara feudal politik naungan dan menutup ruang untuk berbeza pandangan.

“Saya yakin situasi ini tidak akan berterusan kerana akar umbi Bersatu adalah pejuang yang mahu parti dikembalikan kepada agenda rakyat.”

Sambil menyifatkan pergeseran dan perselisihan lumrah dalam mana-mana parti, beliau menyeru kepada kesabaran bersabar dan memberi ruang untuk Bersatu menyelesaikan kemelut dalaman.

Dalam sidang media bersama Wan Saiful pada Selasa, Wan Ahmad Fayhsal menuduh Lembaga Disiplin bertindak berat sebelah dan melaksanakan ‘kecekapan terpilih’, sambil mendakwa dua daripada empat anggotanya mempunyai ikatan kekeluargaan atau profesional dengan pemimpin tertinggi Bersatu.

Wan Saiful berkata, mereka akan mengkaji keputusan dan alasan lembaga itu sebelum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan, sambil menegaskan mereka berdua ‘berada di pihak yang benar’.

Wan Fayhsal dan Wan Saiful juga mendakwa tindakan disiplin dikenakan terburu-buru dengan siasatan selesai dalam tempoh kurang dari seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.