Kami selaras Mitra bersama, Ramanan nafi ‘curi’ peranan Prabakaran

Kami selaras Mitra bersama, Ramanan nafi ‘curi’ peranan Prabakaran

Timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata beliau diberi tanggungjawab oleh kerajaan selaras pelbagai agensi dan inisiatif bagi komuniti India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan menyifatkan dakwaan berlaku pertelingkahan antara beliau dan Pengerusi Mitra P Prabakaran hanya khabar angin untuk cetus persepsi negatif.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan menegaskan tiada krisis antara beliau dengan Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), P Prabakaran.

Jelasnya, beliau tidak mengambil alih peranan Mitra, sebaliknya diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk menyelaras pelbagai agensi dan inisiatif bagi komuniti India.

“Mana ada krisis? Siapa yang cakap ada krisis? YB Praba baru saja jumpa saya. Kami masih kawan, masih bekerjasama,” katanya pada majlis rumah terbuka Deepavali Madani peringkat kebangsaan 2025.

“Seperti yang perdana menteri (Anwar Ibrahim) sebut, ada banyak agensi dan kementerian membantu masyarakat India. Saya hanya diberi amanah untuk penyelarasan, bukan ambil alih atau ‘curi’ peranan Mitra.”

Beliau berkata, Mitra kekal berfungsi seperti biasa, manakala Jawatankuasa Pembangunan dan Intervensi Masyarakat India (JPIMI) yang baru ditubuhkan akan melengkapkan peranan agensi itu.

“Mitra akan terus buat kerja mereka dan laporan akan dibentangkan kepada jawatankuasa ini. Selepas itu, kita buat keputusan bersama. YB Praba dan saya sentiasa bekerjasama memastikan semua program berjalan secara telus.”

Ramanan berkata, dakwaan kononnya berlaku pertelingkahan antara mereka hanya khabar angin dicipta pihak tertentu untuk mencetuskan persepsi negatif.

Beliau menyifatkan dakwaan di media sosial berhubung perebutan kuasa dalam Mitra tidak berasas dan menasihatkan media arus perdana tidak terjebak dengan berita palsu.

“Kadang-kadang ada pihak yang tak ada cerita, jadi mereka reka cerita. Saya harap media yang bertanggungjawab jangan masuk dalam lubang itu.”

Mitra kini di bawah Pejabat Perdana Menteri dan diuruskan JPPK yang dipengerusikan Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu.

Menurut laporan MalaysiaKini, baru-baru ini Ramanan diberi tanggungjawab mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek melibatkan kuil dan sekolah Tamil.

Difahamkan, Anwar melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, mengarahkan Ramanan menjaga hal ehwal komuniti India, termasuk merangka inisiatif baru bagi masyarakat itu.

Ramanan yang juga naib presiden PKR baru-baru ini dikatakan mempengerusikan mesyuarat JPPK Mitra di bangunan Parlimen tanpa kehadiran Prabakaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.