
Dalam reaksi ringkas menurut Bernama, beliau berkata keputusan itu akan dibincangkan Kabinet.
“Kita akan meneliti keputusan tersebut dan biar perdana menteri bawa perkara berkenaan untuk dibincangkan dengan Jemaah Menteri,” katanya di Kota Kinabalu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai ODEC Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.
Sabah Law Society memfailkan semakan kehakiman pada 2022, mendakwa kerajaan persekutuan melanggar Perlembagaan kerana gagal menjalankan semakan hasil yang wajib setiap lima tahun sejak 1974.
Susulan itu, Ketua Menteri Sabah Sementara Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri akan berunding kerajaan persekutuan ‘dalam semangat kerjasama dan saling menghormati’, serta memastikan hak Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Sementara itu, Zahid ketika mengulas PRN Sabah, berkata Umno hanya akan meletakkan calon di kawasan berpotensi tinggi untuk menang.
Beliau yang juga presiden Umno, berkata Umno Sabah telah diberi kuasa autonomi memilih calon yang akan diketengahkan mengikut perkiraan sendiri.
“Namun, kita harus mengakui hakikat bahawa kita hanya meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk menang dan kita akan mengutamakan calon yang telah dikemukakan Umno Sabah sendiri.
“Kita menerima sampai lima bakal calon dikemukakan…namun kita kena teliti terlebih dahulu calon berkenaan serta tempat yang akan ditandingi, yang penting calon berkenaan dijangka boleh menang,” katanya.