
Di sebalik pengalaman mengembara, ada sekumpulan individu yang sentiasa berusaha menjaga kesihatan serta keselamatan penumpang.
Kempen Respons Kecemasan Kesihatan Awam KLIA 2025 menyorot wira tidak didendang ini, memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan individu terlatih untuk bertindak pada saat paling genting.
Sehingga Ogos 2025, lebih 41 juta penumpang telah menggunakan KLIA, menjadikannya antara hab perjalanan paling sibuk di Asia Tenggara.
Jumlah yang tinggi itu turut membawa tanggungjawab besar iaitu melindungi pelancong dalam situasi kecemasan seperti serangan jantung, kesukaran bernafas atau kecederaan kecil.
“Tahun ini, lebih 1,700 kes kecemasan ditangani sehingga kini, termasuk 45 kes serangan jantung.
“Setiap kes mengingatkan kita kenapa setiap saat, setiap respons dan individu terlatih sangat penting,” kata Pengurus Besar Operasi Terminal 1 KLIA Abd Hasman Abd Muhimim,
Peranti AED, latihan kecemasan di semua terminal
Antara tambah baik paling ketara dalam kempen ini ialah pemasangan Defibrilator Luaran Automatik (AED).
Sehingga Oktober, 62 unit AED sudah dipasang – 28 di Terminal 1 dan 34 di Terminal 2 KLIA – dengan 30 lagi dalam proses perolehan, memastikan bantuan sentiasa dalam jangkauan.

Namun, seperti kata pengurusan KLIA, alat semata-mata tidak mampu menyelamatkan nyawa — manusialah yang membuat perbezaan.
Sebagai langkah persediaan, KLIA kini melatih kakitangannya dengan kursus Heartsaver dan sokongan hayat asas (BLS) supaya mereka mampu bertindak pantas semasa kecemasan.

Pegawai keselamatan penerbangan (AVSEC) KLIA, Haiqal Juan, yang pernah membantu menyelamatkan seorang lelaki berusia 70-an awal tahun ini, berkata setiap kawasan di lapangan terbang kini dilengkapi peralatan kecemasan.
“Di setiap pemeriksaan dan zon lapangan terbang ada AED dan petugas perubatan serta keselamatan sentiasa berdekatan. Penumpang boleh mendapatkan bantuan dengan cepat,” katanya.
Paramedic-on-Wheels bantu respon lebih pantas
Inisiatif lain termasuk program Paramedic-on-Wheels, yang melengkapi paramedik dengan skuter elektrik membawa tangki oksigen, kit trauma dan AED. Dengan ini, petugas boleh sampai ke lokasi kecemasan lebih pantas, terutama di kawasan sesak.

Menurut Pengarah Eksekutif Medilife (penyedia perkhidmatan perubatan KLIA sejak 2017), Dr Rasheed Ahamed: “Masa tindak balas mereka kurang daripada lima minit, dan mereka boleh terus memulakan CPR di tempat kejadian.
Jelasnya, menerusi satu panggilan kecemasan (code blue), bantuan segera digerakkan dan pasukan paramedik tambahan boleh tiba dalam masa lapan minit.
Tiga buah ambulans turut ditempatkan di luar terminal untuk bantuan perubatan lanjut.
Latihan simulasi, kursus menyelamat nyawa
Selain peralatan baharu, kakitangan KLIA juga menjalani latihan simulasi dan cabaran kemahiran. Kursus Heartsaver dan BLS dijalankan oleh jurulatih bertauliah, di mana peserta berlatih melakukan CPR dan menggunakan AED pada patung bagi meniru situasi sebenar.

Rasheed berkata latihan menyelamat ini bermula sejak Ogos dan akan diteruskan secara berperingkat hingga tahun 2025.
Pegawai GTR, Solehin Ridzuan, yang baru menamatkan kursus pertamanya, berkata latihan ini meningkatkan keyakinan diri.
“Kecemasan boleh berlaku bila-bila masa. Bila kita dah belajar, kita lebih yakin untuk bertindak,” katanya.
Duta Airport CARE, Nurin Nazreen Jan Feroz Khan, turut berkongsi pengalaman sama.
“Kalau ada orang pengsan depan saya, saya takkan panik. Saya akan guna ilmu diajar untuk bantu,” katanya.

Pasukan sentiasa bersedia
Menurut Rasheed, usaha itu memastikan setiap penumpang boleh melancong atau mengembara dengan lebih tenang.
“Pasukan kami kini dilengkapi sepenuhnya untuk sebarang kecemasan — sama ada penerbangan berisiko tinggi atau kes ringan,” ujarnya.
Dengan kempen ini, KLIA bukan sekadar pintu masuk ke Malaysia — ia kini menjadi ruang komuniti selamat, di mana setiap pengembara dilindungi kumpulan profesional terlatih, dilengkapi peralatan moden dan sentiasa bersedia bertindak.