
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata penyelarasan itu akan dilaksanakan melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab dan dijangka menjadi antara dokumen utama diterima pakai pada sidang kemuncak berkenaan.
“Penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur ini hasil daripada perbincangan dalam kalangan menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas penerangan, antara Ministers Responsible for Information pada Mei lalu di Bandar Seri Begawan (Brunei).
“Menerusi perbincangan itu, rata-rata menteri komunikasi dari rantau Asean bersetuju kita perlukan satu strategi bersama dan mengambil langkah bersama untuk mendepani cabaran semasa berkait isu media sosial.
“Kita perlu bersatu hati wujudkan perundangan yang seumpama atau serupa dan mengambil beberapa tindakan segera,” katanya menurut Bernama.
Beliau ditemui selepas Asean Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, malam ini.
Fahmi berkata, walaupun negara Asean berbeza dari segi saiz dan peranan, termasuk ada yang menjadi pusat operasi serantau bagi syarikat gergasi media sosial seperti Meta dan TikTok, semua negara tetap terkesan apabila berdepan isu keselamatan dalam talian.
“Kita tahu Asean ada negara yang saiznya besar, ada yang saiznya sangat kecil, ada negara yang menjadi ibu pejabat rantau bagi syarikat-syarikat besar seperti Meta, Facebook dan sebagainya, tetapi dalam isu keselamatan dalam talian kita semua terkesan sekiranya berlaku masalah dalam media sosial seperti scam, judi dalam talian dan sebagainya.
“Jadi Insya-Allah selepas pada Sidang Kemuncak Asean ke-47, beberapa perkara akan diselaraskan antara menteri-menteri Asean yang menjaga portfolio penerangan untuk mendepani cabaran media sosial,” katanya.
Sementara itu, Fahmi menzahirkan kegembiraan dengan kejayaan penganjuran Asean Friendship Concert 2025, yang disifatkannya sebagai simbol semangat persaudaraan dan perpaduan serantau menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47.
“Ia merupakan julung kalinya kita menyaksikan bukan hanya 10 negara Asean yang turut serta tapi kali ini ada negara ke-11 iaitu Timor Leste yang akan secara rasminya menyertai Asean pada 26 Okt ini.
“Sudah pasti ini peluang yang baik untuk kita sama-sama mendengar dan menyaksikan bakat-bakat muda dari rantau Asia Tenggara,” katanya.