AGC teliti penghakiman 40% hasil Sabah sebelum tindakan lanjut

AGC teliti penghakiman 40% hasil Sabah sebelum tindakan lanjut

Semalam Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu putuskan kerajaan pusat bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal tunai hak Sabah.

agc
Jabatan Peguam Negara berkata antara hal menjadi pertikaian melibatkan tafsiran undang-undang bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan 40% hasil persekutuan kepada Sabah sebelum mengambil tindakan lanjut.

Dalam kenyataan, AGC memaklumkan antara hal menjadi pertikaian melibatkan tafsiran undang-undang bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Pada 17 Okt 2025 Mahkamah Kota Kinabalu telah memutuskan antara lain bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah hendaklah menjalankan satu lagi kajian semula pemberian khas negeri Sabah bagi tahun 1974 sehingga tahun 2022.

“Antara perkara yang menjadi pertikaian adalah tafsiran undang-undang ke atas Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah menerimanya kelak sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.

Sabah Law Society memfailkan semakan kehakiman pada 2022, mendakwa kerajaan persekutuan melanggar Perlembagaan kerana gagal menjalankan semakan hasil yang wajib setiap lima tahun sejak 1974.

Susulan keputusan itu, ketua menteri Sabah sementara, Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan persekutuan ‘dalam semangat kerjasama dan saling menghormati’, serta memastikan hak Sabah direalisasikan sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.