
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata pasukan itu terdiri daripada kira-kira 40 pegawai dari Ibu Pejabat SPRM bagi memperkukuh pemantauan di lapangan sepanjang tempoh pilihan raya diadakan.
“Kami telah pun bersedia dan menubuhkan satu pasukan di negeri (Sabah). Saya juga telah menghantar pasukan dari ibu pejabat untuk memantau pilihan raya berkenaan bagi memastikan perjalanan pilihan raya itu tidak disusuli dengan isu-isu salah guna kuasa, rasuah atau penipuan.
“Sabah ini luas dan banyak kawasan perlu diperhatikan sebab itu kita tubuhkan pasukan. Kita juga ada sistem pemantauan bagi memudahkan pemantauan di semua kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Azam berkata, bilik gerakan pilihan raya akan dibuka di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama sebelum diperluas ke daerah lain.
Beliau berkata, SPRM turut bekerjasama dengan polis dalam pelaksanaan pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain khususnya polis bagi membekalkan maklumat. Perlu diingat, bukan sahaja SPRM menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tetapi polis juga mempunyai kuasa berkenaan maka kerjasama antara kedua-dua pihak ini amat penting,” katanya.
Pada 6 Okt, Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Adun dilantik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 Nov, manakala undi awal berlangsung 25 Nov dan tarikh mengundi pada 29 Nov.