Pacu kerjasama tenaga, Grid Tenaga Asean hampiri sasaran

Pacu kerjasama tenaga, Grid Tenaga Asean hampiri sasaran

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata Asean sudah menyelesaikan sembilan daripada 18 projek kesalinghubungan Grid Tenaga Asean.

FADILLAH YUSOF
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata Asean mencapai pengurangan intensiti tenaga sebanyak 25.5% pada 2023, yang mengekalkan blok itu di landasan memenuhi sasaran pengurangannya 32% tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Asean mencapai kemajuan kukuh dalam matlamat kerjasama tenaga serantaunya, mencapai skor prestasi 4.5 daripada 5, di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (2021–2025).

Pada sidang media usai Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean ke-43, Fadillah berkata skor prestasi tersebut diunjurkan 4.83, menjelang Disember ini.

“Ini menunjukkan kemajuan yang sangat kukuh dalam kerjasama tenaga serantau,” kata Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air.

Beliau berkata, rantau ini telah menyelesaikan sembilan daripada 18 projek kesalinghubungan Grid Tenaga Asean (APG), satu langkah penting ke arah membina rangkaian tenaga bersepadu di seluruh rantau.

“Ini memberikan gabungan kapasiti 10.22 gigawatt dengan sasaran memperluaskannya kepada 25 gigawatt menjelang 2030.”

Katanya, Asean memperkukuh mekanisme pemantauan dan pelaksanaan untuk fasa 2026–2030 APG demi memastikan kemajuan berterusan.

Beliau juga menekankan tersedianya lapan Hasil Ekonomi Keutamaan Asean, termasuk rangka kerja mengenai keselamatan petroleum, tenaga boleh baharu, kecekapan dan pemuliharaan tenaga, serta pelan hala tuju jangka panjang baharu untuk kerjasama tenaga serantau.

Antara inisiatif baharu itu, beliau turut menyebut mengenai pelancaran Kemudahan Pembiayaan APG pada 15 Okt — kerjasama dengan Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia untuk menyokong pelaburan grid rentas sempadan — dan pembangunan kerangka kesiapsiagaan tenaga nuklear serantau untuk memperkukuh kesediaan nuklear awam.

Fadillah berkata, portfolio tenaga boleh baharu Asean terus berkembang, mencapai 33.5% daripada kapasiti terpasang dan 14% daripada jumlah bekalan tenaga primer pada 2023, menghampiri sasaran 2025 masing-masing 35% dan 23%.

Terdapat juga kemajuan dalam kecekapan tenaga dengan pengurangan intensiti tenaga sebanyak 25.5% pada 2023, yang mengekalkan blok itu di landasan mencapai sasaran pengurangan 32% menjelang 2025.

Bercakap mengenai kerjasama rentas sempadan, Fadillah berkata Thailand komited menandatangani perjanjian Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura menjelang November, bagi memperluaskan perdagangan elektrik serantau.

Beliau turut menyatakan kemajuan dalam kerangka penggunaan kabel kuasa dasar laut, sambil berkata terma rujukan telah disiap, meliputi aspek teknikal, perundangan, dan komersial.

Sementara itu, Timor-Leste turut membentangkan keutamaan tenaga negaranya dan bidang di mana ia memerlukan sokongan teknikal. Asean akan mempertimbangkannya dalam fasa perancangan yang akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.