
Roger Chin berkata kerajaan diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor secara berterusan menegakkan dan memperjuangkan hak Sabah.
“Usaha kerajaan negeri dalam menjelaskan rekod sejarah, termasuk pertumbuhan hasil persekutuan yang diperoleh dari Sabah dari tahun 1964 hingga 1968, main peranan penting dalam menegaskan niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah,” menurut kenyataan.
Perkara 112C Perlembagaan menyentuh pemberian khas dan peruntukan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D memperuntukkan semakan berkala ke atas pemberian itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Chin menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “titik perubahan bagi Sabah”.
“Mahkamah Tinggi menegakkan apa yang sekian lama kita perjuangkan, iaitu hak kita terhadap 40% hasil persekutuan.”
Beliau menambah, keputusan itu bukan sekadar angka, sebaliknya mengenai “maruah, keadilan, dan penghormatan pada kedudukan Sabah dalam Malaysia,” kerana wang itu boleh digunakan oleh kerajaan negeri untuk membina sekolah, hospital dan jalan raya.
Chin menegaskan kemenangan Sabah bukanlah kemenangan “menentang persekutuan, tetapi untuk persekutuan”.
“Ia membuktikan Malaysia menghormati janji penubuhannya… dan perpaduan sejati dibina atas penghormatan dan bukannya pengabaian,” katanya, dan menambah SLS akan menentang sebarang percubaan untuk merayu atau melemahkan keputusan ini.
SLS memfailkan semakan kehakiman pada 2022, mendakwa kerajaan persekutuan melanggar Perlembagaan kerana gagal menjalankan semakan hasil yang wajib setiap lima tahun sejak 1974.
Ia juga berhujah kerajaan bertanggungjawab untuk remit 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada negeri itu untuk setiap tahun berkenaan.
Formula perkongsian hasil itu menjadi isu berbangkit selama beberapa dekad. Ahli politik Sabah menuntut agar kerajaan persekutuan menunaikan hak negeri itu bagi 40% daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.
Penggunaan formula tersebut digantung sejak 1974 apabila kerajaan persekutuan sebaliknya menaikkan pembayaran pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.