Kegiatan curi kabel, komponen ECRL mungkin babit ‘orang dalam’, kata polis

Kegiatan curi kabel, komponen ECRL mungkin babit ‘orang dalam’, kata polis

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata pihaknya sedang melakukan siasatan menyeluruh kerana suspek terus berani melakukan kegiatan itu walaupun ada tangkapan.

ecrl
Sebelum ini didedahkan sebanyak 24 tapak projek ECRL di Pahang menjadi sasaran pencuri yang melarikan barang bernilai jutaan ringgit di antara Jun dan 10 Oktober tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis tidak menolak kemungkinan bahawa ‘orang dalam’ mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel dan komponen hingga menjejaskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan menyeluruh kerana suspek terus berani melakukan kegiatan terbabit biarpun beberapa tangkapan telah dibuat.

Katanya, ‘orang dalam’ terbabit kemungkinan memberikan maklumat atau bekerjasama dengan pencuri berkenaan dan setakat ini polis sudah melakukan 10 tangkapan.

“Satu pasukan petugas sudah ditubuhkan sebelum ini untuk menangani insiden kecurian di tapak jajaran ECRL.

“Setakat ini, 10 orang sudah ditahan dan didakwa. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada suspek dalam kes terbaharu mempunyai kaitan dengan mereka yang sudah ditahan sebelum ini,” katanya, menurut Harian Metro.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) untuk mengenal pasti dan menangkap mereka yang terbabit dalam kecurian kabel dan menamatkan aktiviti itu.

Katanya, mereka juga mencadangkan beberapa langkah keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu sepanjang jajaran rel.

“Dalam mesyuarat, kami berbincang mengenai langkah-langkah untuk memperkukuhkan keselamatan tapak dan akan terus bekerjasama rapat sehingga projek ini siap sepenuhnya.

“Orang awam harus sedar bahawa memotong kabel yang masih beraliran elektrik amat berbahaya dan boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik dan pekerja kedai besi buruk supaya melaporkan kepada polis sekiranya mereka menemui individu yang mencurigakan cuba menjual tembaga atau bahan lusuh lain.

CCC-ECRL baru-baru ini mendedahkan, 24 tapak projek ECRL di Pahang menjadi sasaran pencuri yang melarikan barang bernilai jutaan ringgit di antara Jun dan 10 Oktober tahun ini.

Pasukan petugas Polis Pahang ditubuhkan selepas Malaysia Rail Link (MRL) menyuarakan kebimbangan terhadap insiden kecurian kabel yang berulang di sepanjang jajaran ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek rel mega sepanjang 665 kilometer ini yang melalui Bentong, Temerloh, Maran dan Kuantan di Pahang dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027.

Bulan lalu, pencuri terbabit dilaporkan telah melarikan 1,080 meter kabel tembaga sebelum 10 suspek berjaya ditahan, termasuk seorang warga asing, dalam beberapa serbuan berasingan di Temerloh dan Bentong yang membabitkan kerugian lebih RM800,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.