Sabah akan runding dengan Putrajaya laksana perintah mahkamah berkait hasil

Sabah akan runding dengan Putrajaya laksana perintah mahkamah berkait hasil

Kerajaan negeri akan berunding 'dalam semangat kerjasama dan saling menghormati' serta memastikan hak Sabah direalisasikan.

Hajiji Noor
Ketua Menteri Sementara Hajiji Noor kata pentadbirannya perjuang isu Sabah ini tanpa henti melalui setiap saluran. (Gambar Pejabat Ketua Menteri Sabah)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah akan berunding dengan Putrajaya bagi melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi, yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan.

Ketua Menteri Sementara Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan berunding kerajaan persekutuan “dalam semangat kerjasama dan saling menghormati”, serta memastikan hak Sabah direalisasikan sepenuhnya.

Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Hajiji berkata pentadbiranya memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, setiap mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963, dan melalui banyak surat kepada Putrajaya.

“Dengan keputusan ini, kami berharap kerajaan persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.

Sabah Law Society memfailkan semakan kehakiman pada 2022, mendakwa kerajaan persekutuan melanggar Perlembagaan kerana gagal menjalankan semakan hasil yang wajib setiap lima tahun sejak 1974.

Hajiji memuji tindakan SLS membawa isu ini ke mahkamah sebagai satu perkara berkepentingan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.