
Ia menandakan fasa seterusnya bagi blok tersebut dalam usaha membina masa depan tenaga yang selamat, terhubung dan mampan di seluruh rantau ini.
Dalam kenyataan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata pelan hala tuju itu akan memberi tumpuan kepada penyahkarbonan, pendigitalan dan kepelbagaian campuran tenaga serantau.
APAEC, yang berfungsi sebagai pelan jangka panjang rantau ini untuk kerjasama tenaga, menjadi panduan kepada usaha bersama Asean dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, sambungan grid, serta keselamatan tenaga.
Pelan itu diluluskan ketika Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19 dan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean+3 ke-22, kedua-duanya dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, selepas Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean ke-43.
Kenyataan menyebut menteri menegaskan semula visi bersama untuk mewujudkan landskap tenaga Asia Timur yang selamat dan mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Asean sebagai hab serantau.
Malaysia, melalui Petra menegaskan kerjasama Asean mesti melangkaui perbincangan kepada rangka kerja berasaskan pelaksanaan, yang mampu menggerakkan pembiayaan dan memperluas grid tenaga rentas sempadan.
“Kerjasama serantau mesti berkembang daripada dialog dasar kepada rangka kerja berasaskan pelaksanaan, bagi membolehkan Asean dan rakannya menggerakkan pembiayaan campuran, memperluas sambungan grid, serta mencapai matlamat sifar bersih secara kolektif,” katanya.
Hasil kedua-dua mesyuarat itu juga mengesahkan peranan utama Malaysia dalam merapatkan hubungan Asean dengan rakan Asia Timur melalui Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga Asean, sebuah platform baharu yang dilancarkan awal minggu ini untuk membiayai infrastruktur tenaga rentas sempadan dan projek tenaga boleh baharu.
Siri mesyuarat itu berakhir dengan tema ‘Memperkasa Asean: Merentasi Sempadan, Membina Kemakmuran’, yang menekankan komitmen jangka panjang rantau ini terhadap pengukuhan keselamatan, kemampuan dan kemampanan tenaga.