
Dalam kenyataan, Pemuda Umno berkata keputusan dibuat hasil mesyuarat sayap parti itu semalam selepas meneliti pelbagai isu pendidikan dan sosial yang memberi kesan langsung kepada generasi muda.
“Pemuda Umno Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap krisis keyakinan sistem pendidikan negara yang semakin meruncing melibatkan isu disiplin murid, beban tugas guru, jurang kualiti antara bandar dan luar bandar, serta kegagalan sistem membina nilai dan jati diri bangsa.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno akan menganjurkan satu meja bulat pendidikan nasional yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), guru, PIBG, ahli akademik, NGO pendidikan serta wakil pelajar bagi merangka solusi komprehensif terhadap krisis ini,” katanya.
Perbincangan akan berpusat kepada empat teras utama iaitu memulihkan autoriti dan maruah guru, menilai semula silibus agar seimbang antara akademik, nilai dan kemahiran hidup, menangani krisis disiplin dan emosi pelajar serta menstruktur semula sistem pentaksiran serta mengurangkan beban birokrasi sekolah.
“Pemuda Umno percaya bahawa pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi pembentukan bangsa dan nilai. Generasi muda mesti dilatih untuk berfikir, beradab dan berjiwa besar, bukan hanya lulus peperiksaan,” katanya.