MAHB lantik penilai bebas susulan gangguan khidmat aerotren

MAHB lantik penilai bebas susulan gangguan khidmat aerotren

MAHB juga guna imbasan termografik serta ujian lain untuk sahkan keselamatan dan integriti sistem aerotren.

aerotrain klia
Perkhidmatan aerotren di Terminal 1 KLIA tergendala pada 8.30 malam tadi selepas kedua-dua unit tren mengalami gangguan bekalan kuasa sementara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melantik penilai bebas bagi menjalankan kajian menyeluruh susulan gangguan perkhidmatan aerotren di Terminal 1 KLIA semalam.

MAHB berkata, insiden terbaru itu amat dikesali kerana sistem aerotren telah melalui proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum mula beroperasi.

“Proses itu melibatkan perunding bebas, pakar keselamatan dan pihak berkuasa kawal selia bagi memastikan ia mematuhi semua piawaian keselamatan serta prestasi,” katanya dalam kenyataan.

“Susulan perkembangan ini, kami akan mengambil langkah tambahan dengan melantik penilai bebas untuk melakukan semakan komprehensif terhadap reka bentuk bekalan kuasa serta kualiti kerja pemasangan.”

Perkhidmatan aerotren di Terminal 1 KLIA tergendala pada 8.30 malam tadi selepas kedua-dua unit tren mengalami gangguan bekalan kuasa sementara.

Pengangkutan alternatif segera disediakan bagi memastikan pergerakan penumpang antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas.

Menjelang 9.27 malam, satu tren berjaya dipulihkan. Selepas melalui beberapa siri ujian keselamatan dan operasi, kedua-dua tren kini dilaporkan beroperasi seperti biasa.

Menurut MAHB, insiden itu berlaku ketika sistem aerotren masih di bawah tempoh liabiliti kerosakan.

Pihaknya turut mengadakan mesyuarat teknikal tergempar dengan pengurusan kanan kontraktor projek, termasuk Alstom dan IJM-Pestech Joint Venture, yang juga bertanggungjawab bagi reka bentuk serta pemasangan sistem agihan kuasa.

“Punca gangguan masih disiasat. Pihak kontraktor akan mengeluarkan kenyataan lain bagi memberikan penjelasan teknikal yang terperinci,” kata MAHB.

Dalam pada itu, MAHB memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah tambahan, termasuk imbasan termografik dan ujian diagnostik lain yang relevan, bagi mengesahkan integriti serta keselamatan sistem itu.

“Kami juga akan terus memantau rapi kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan oleh kontraktor,” tambahnya.

Kejadian semalam merupakan gangguan kedua berkaitan bekalan kuasa terhadap perkhidmatan aerotren dalam tempoh beberapa bulan, selepas insiden serupa pada 4 Sept lepas, yang menjejaskan salah sebuah tren.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberi amaran kementeriannya menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat boleh mengambil tindakan terhadap MAHB jika sistem aerotren gagal mencapai tahap kesediaan operasi yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.