
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata dakwaan mengatakan sekolah mengetahui suspek berumur 14 tahun itu mempunyai masalah mental adalah tidak benar.
”Saya berpendapat tidak adil untuk saya memberikan komen tentang keadaan mental tersebut kerana pihak polis bukan pakar psikiatri, jadi kita perlu merujuk kepada pakar yang sepatutnya.
”Setakat siasatan hingga kini, saya dimaklumkan bahawa suspek ada menjalani proses kaunseling pemulihan untuk membaiki dari segi kaedah pembelajaran dia, bukan dari segi kesihatan mental atau personaliti dia, perkara ini diuruskan oleh pihak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program bersempena Deepavali di Jalan Tengku Kelana.
Shazeli berkata pihaknya juga sedang melihat kepada pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu yang berkemungkinan menjadi faktor pendorong.
Beliau berkata sebanyak dua lagi individu dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini. Hasil bedah siasat terhadap mangsa akan diketahui dalam masa sebulan.
”Polis kini sedang meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong tindakan suspek,” katanya.
Mahkamah Majistret semalam membenarkan reman selama tujuh hari terhadap remaja itu bagi membantu siasatan.