Belia dilatih jadi ‘abang, kakak prihatin’ bantu hentikan budaya buli

Belia dilatih jadi ‘abang, kakak prihatin’ bantu hentikan budaya buli

Cadangan sistem mentor bawah program Rakan Muda antara inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan membanteras budaya buli.

hannah yeoh
Hannah Yeoh berkata kumpulan mentor akan melalui latihan khas bagi memastikan nasihat atau tindakan diambil tidak menyalahi etika. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Golongan belia bakal memainkan peranan lebih besar dalam usaha menoktahkan budaya buli apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan sistem mentor ‘abang dan kakak prihatin’ menerusi program Rakan Muda.

Menterinya Hannah Yeoh berkata sistem mentor itu antara cadangan utama hasil Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin, yang menghimpunkan pelajar, NGO serta agensi kerajaan untuk berkongsi pandangan dan penyelesaian.

“Idea paling menarik ialah wujudkan sistem mentor melibatkan belia lebih berusia — macam abang dan kakak yang boleh mendengar dan membimbing adik-adik mereka,” katanya pada sidang media selepas program itu di Menara KBS.

Hannah berkata pendekatan itu penting kerana bukan semua guru atau ibu bapa mempunyai masa untuk menangani kes buli secara dekat, manakala ramai belia dan NGO sebenarnya bersedia membantu jika diberi ruang dan latihan.

Namun, katanya, kumpulan mentor ini akan melalui latihan khas terlebih dahulu bagi memastikan nasihat atau tindakan yang diambil tidak menyalahi etika atau memberi kesan negatif.

“Kalau tiada latihan, boleh jadi bahaya juga sebab bukan semua nasihat sesuai. Jadi kita akan latih mereka di bawah program Rakan Muda supaya bimbingan yang diberikan lebih berkesan dan selamat,” jelasnya.

Program meja bulat itu diadakan bagi mengumpul cadangan untuk memperkukuh langkah pencegahan buli melalui pendekatan menyeluruh, melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Menurut Hannah, semua dapatan dan resolusi daripada sesi tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi dijadikan asas kepada pelaksanaan intervensi baharu dalam menangani isu buli secara sistematik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.