
Pada sidang media yang diadakan ketika upacara penghormatan terakhir anaknya, Wong Lee Ping berkata, kebanyakan kesan tikaman tertumpu pada bahagian kanan badan.
Beliau turut merayu kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kes itu, terutamanya dakwaan bahawa mangsa dicabul sebelum meninggal dunia.
“Pihak polis memaklumkan suspek memanjat ruang tandas di mana anak saya mengunci diri sebelum mula menikamnya,” katanya di Nirvana 2, Seputeh.
“Anak saya menjerit minta tolong dan suspek melompat keluar dari ruang tandas itu, (tetapi) segalanya sudah terlambat apabila guru berjaya memecahkan pintu.
“Anak saya dan suspek tidak kenal antara satu sama lain sebelum ini. Hentikan sebar maklumat palsu, anak saya sudahpun jadi mangsa.”
Wong turut berharap agar tragedi seumpama itu tidak lagi menimpa mana-mana ibu bapa, dan agar semua kanak-kanak sentiasa selamat dan terjamin di sekolah.
Beliau menggesa pihak berkuasa sekolah dan para pelajar agar lebih berwaspada dalam mencegah objek berbahaya daripada dibawa masuk ke pekarangan sekolah.
“Pelajar yang sedar adanya barang berbahaya perlu segera maklumkan kepada guru atau pentadbiran sekolah,” katanya.
Bapa tiri mangsa, How Boon Chin, turut mempersoalkan langkah-langkah keselamatan di sekolah itu, menyatakan bahawa suspek berjaya membawa masuk senjata ke dalam pekarangan sekolah tanpa dikesan.
“Jika pihak sekolah boleh halang pelajar bawa telefon bimbit, mengapa tidak boleh halang seseorang bawa masuk pisau?” soalnya.
Remaja perempuan itu maut ditikam di SMK Bandar Utama Damansara (4) kira-kira 9.30 pagi pada Selasa. Pihak polis merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan oleh suspek berusia 14 tahun, yang kini sedang direman.