
Ketua Komunikasi Wanita PKR Norhayati Umor berkata semua pihak tidak boleh berdiam diri ketika nilai keluarga, adab dan empati masyarakat semakin tergugat akibat perubahan sosial yang pesat.

“KPWKM menjadi tulang belakang dasar berkaitan keluarga, keibubapaan, perlindungan kanak-kanak dan pembangunan wanita — semua ini membentuk akhlak serta jati diri individu sejak usia muda.
“Mesti bersuara, bertindak dan menegur apabila nilai keluarga tergugat,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan beliau itu hadir di tengah kebimbangan pelbagai pihak terhadap peningkatan kes penderaan, keganasan rumah tangga serta gejala sosial dikaitkan keruntuhan nilai kekeluargaan.
Norhayati berkata kekuatan sesebuah bangsa tidak hanya bergantung kepada kestabilan politik atau ekonomi, tetapi berpaksikan institusi keluarga yang kukuh berasaskan kasih sayang dan nilai murni.
“Dunia hari ini semakin bising dengan kata-kata, tetapi semakin sunyi dengan empati. Kita lupa bahawa akar segala nilai bermula dari rumah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata isu sosial remaja perlu turut membabitkan semua lapisan masyarakat.
“Kami di KPWKM tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambahbaik penyampaian perkhidmatan kami.
“Namun, kami tidak mampu bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing— bukan sahaja memperkukuh dasar dan program.
“Tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik,” katanya.