
Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore, berkata semakan penting bagi memastikan semua sekolah dilengkapi sistem keselamatan berkesan, selain memperkukuh kawalan terhadap risiko kejadian tidak diingini.

“Selain itu, boleh dilakukan audit keselamatan menyeluruh lebih ketat secara rawak dan mengejut. Audit ini juga perlu dilaporkan berkala melibatkan banyak pihak dan dikemukakan dengan eksplisit kepada pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan,” katanya kepada FMT.
Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di SMK Bandar Utama Damansara (4) dilaporkan maut selepas ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Suspek dikatakan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke sekolah.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata suspek ditahan dengan motif kejadian masih disiasat.
Kedua-dua suspek dan mangsa belajar di kelas peralihan masing-masing di Tingkatan 1 dan 3.
Effendi berkata, pihak sekolah perlu melaksanakan pemeriksaan tahap kesihatan mental pelajar dan memastikan mereka tidak mengalami masalah kecelaruan sehingga membawa kepada pembunuhan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata pendidik perlu diberikan kesedaran dan kemahiran mengenal pasti perubahan emosi pelajar bagi mengelak insiden tragik berulang.

Fouzi berkata, kemahiran menilai emosi oleh guru lebih diperlukan ketika ini berbanding pihak sekolah melaksanakan pemeriksaan secara rawak terhadap pelajar kerana langkah itu sukar dilakukan setiap hari dan tidak menjamin mampu mengesan niat jahat yang dirancang lebih awal.
“Apabila emosi tidak boleh dikawal, maka tindakan (luar jangka) yang telah diambil. Untuk pelajar ambil tindakan sedemikian bukan terbentuk dalam masa satu hari, bermakna perkara untuk menekan pemikiran dia telah berlaku mungkin berminggu.
“Sebab itu bagi saya kemahiran dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku, perubahan sikap, emosi ini penting juga diberikan pendedahan kepada guru,” katanya.