Muhyiddin dalam dilema hadapi perpecahan dalaman Bersatu

Muhyiddin dalam dilema hadapi perpecahan dalaman Bersatu

Penganalisis Awang Azman Pawi berkata perpecahan berlaku antara puak setia kepada Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin manakala PAS memihak calon perdana menteri bawah 70 tahun.

MUHYIDDIN YASSIN
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berdepan cabaran untuk mengimbangi usaha mengukuhkan kawalan terhadap partinya dan memulihkan disiplin selepas berbulan-bulan berdepan perbalahan dalaman.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin dilihat berada dalam dilema ketika beliau berusaha mengukuhkan pengaruhnya dalam Bersatu dan memulihkan disiplin selepas berbulan-bulan berdepan perbalahan dalaman, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya turut memberi amaran tindakan itu boleh memburukkan lagi perpecahan dan menyebabkan hubungan parti itu dengan PAS lebih tegang.

Katanya, pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan empat ketua bahagian adalah bertujuan mengekang puak-puak yang menentang kepimpinan.

“Sebagai presiden parti, Muhyiddin perlu melakukan apa yang betul. Jika beliau tidak bertindak, masalah itu akan merebak,” katanya kepada FMT.

“Tetapi walaupun dengan tindakan ini, keadaan dalaman Bersatu sudah pun kritikal dan hubungannya dengan PAS juga tegang.”

Bersatu berkata Wan Saiful dan empat ketua bahagian itu dipecat daripada parti kerana melanggar perlembagaan serta kod etika parti.

Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi baru-baru ini.

Awang Azman berkata perpecahan dalam parti itu sudah mendalam, dengan puak yang menyokong Muhyiddin dan Hamzah Zainudin untuk jawatan tertinggi parti. Katanya, sokongan PAS terhadap Hamzah hanya menambah ketegangan.

Beliau menambah bahawa kerjasama tidak selesa antara Bersatu dan PAS kini mula menyerupai hubungan tegang PAS sebelum ini dengan Umno, DAP dan PKR.

“Bersatu fikir mereka berbeza, tetapi kini mereka tahu bagaimana rasanya bekerjasama dengan PAS. Mereka sukar dijangka dan tidak konsisten,” katanya.

Pertaruhan berisiko bagi Muhyiddin

Awang memberi amaran bahawa pemecatan Wan Saiful, yang dilihat sehaluan dengan puak Hamzah, mungkin tidak akan menyelesaikan masalah.

“Muhyiddin perlu membersihkan partinya dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, manakala Wan Saiful kini tiada apa lagi untuk dipertahankan. Dia boleh berkata apa sahaja dan itu akan melemahkan Bersatu lagi,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kem pihak lawan boleh menyusun semula strategi dalam tempoh ini.

“Tetapi saya fikir inilah masanya untuk menyerang secara terbuka kerana tiada lagi rahsia, tiada lagi serangan di belakang tabir,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata pemecatan Wan Saiful lebih keras daripada jangkaan dan boleh dianggap keterlaluan.

“Apa yang berlaku selepas ini bergantung pada bagaimana proses rayuan dikendalikan.

“Jika kepimpinan dilihat terlalu keras, mereka yang tidak puas hati akan terus bersuara, walaupun tidak seberani Wan Saiful,” katanya sambil menambah bahawa pemulihan perpaduan parti perlu menjadi keutamaan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.