Malaysia perkukuh kesedaran tenaga melalui MELP

Malaysia perkukuh kesedaran tenaga melalui MELP

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Nasir berkata Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) bantu mewujudkan perbualan berkait tenaga di kalangan belia.

Akmal Nasrullah Nasir
Akmal Nasrullah Nasir bersama peserta sesi ‘Coffee Talk’ pada Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Malaysia memperhebat usaha meningkatkan kesedaran tenaga melalui Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) bertujuan menjadikan topik tenaga sebahagian perbualan harian masyarakat, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Nasir.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi ‘Coffee Talk’ anjuran kementeriannya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sesi dialog itu menghimpunkan pelajar dari Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute, Sekolah Menengah Sains Seri Puteri dan Sekolah Menengah Sains Selangor.

Perbincangan interaktif itu sebahagian daripada pameran ‘Malaysian Heritage Hall’ bertemakan “Where Culture Meets Energy”, yang menonjolkan matlamat MELP untuk menggalakkan generasi muda berbincang mengenai kelestarian dan peralihan tenaga.

“Kami memperkenalkan segmen ‘Coffee Talk’ bersama saya sebagai timbalan menteri bagi meneruskan sesi dialog dan perbincangan dengan kumpulan pelajar, sama ada di peringkat sekolah menengah atau universiti,” kata Akmal.

“Kami mahu meningkatkan pemahaman tentang isu tenaga dalam kalangan belia. Topik tenaga tidak seharusnya dibincangkan hanya oleh pemain industri, sebaliknya perlu diperluaskan kepada masyarakat umum.”

Inisiatif MELP bertujuan mewujudkan budaya tenaga lebih berpengetahuan dan lestari di Malaysia melalui program seperti dialog awam, pameran dan forum bagi menjadikan topik tenaga lebih mudah difahami oleh orang ramai.

MELP turut mempunyai laman sesawang khas berfungsi sebagai pusat rujukan digital nasional, menyediakan artikel, panduan, infografik, video serta modul pendidikan mengenai asas tenaga, tarif, keselamatan dan penggunaan cekap tenaga.

Akmal berkata komunikasi yang lebih jelas melalui MELP membantu orang ramai memahami dasar tenaga dengan lebih baik, termasuk mendapat maklum balas positif terhadap semakan tarif elektrik baru-baru ini.

Beliau menambah, MELP juga ditawarkan sebagai subjek elektif di beberapa universiti bagi menarik minat pelajar yang bukan dalam bidang tenaga.

“Kami mahu memastikan pelajar daripada pelbagai latar belakang dapat memahami isu tenaga secara menyeluruh. Matlamat kami ialah memperkukuh kefahaman mengenai tenaga, khususnya dalam kalangan anak muda yang mempunyai pelbagai minat,” katanya.

Gerai pameran dan aktiviti MELP dibuka kepada semua perwakilan serta pengunjung di Dewan 7A, Aras 3, sehingga 17 Oktober ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.