Mahkamah benar Guan Eng dapat pasport secara kekal

Mahkamah benar Guan Eng dapat pasport secara kekal

Tetapi, Ahli Parlimen Bagan itu perlu lapor diri ke pejabat SPRM Pulau Pinang pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan ikat jamin RM1 juta dikekalkan.

lim guan eng
Peguam berkata Lim Guan Eng perlu kerap ke luar negara atas tugasan rasmi selaku pengerusi kehormat Asean-China bagi pemerkasaan kerjasama dan pembangunan perindustrian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Lim Guan Eng mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal kerana bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dikehendaki ke luar negara dengan kerap atas tugasan rasmi.

Hakim Azura Alwi bagaimanapun berkata, syarat jaminan itu digantikan arahan Lim perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai, manakala jumlah ikat jamin RM1 juta dikekalkan.

Terdahulu, peguam Mohd Haijan Omar memaklumkan Lim dilantik seorang daripada pengerusi kehormat Asean-China bagi pemerkasaan kerjasama dan pembangunan perindustrian (Acapicd).

“Sebagai seorang daripada pengerusi kehormat Acapicd, pemohon dikehendaki ke luar negara dengan kerap untuk menghadiri mesyuarat, konvensyen atau pameran antarabangsa.

“Pemohon memohon pasport secara kekal bukan untuk bercuti, tetapi atas tujuan rasmi bagi mewakili kerajaan Malaysia dan tanpa kehadirannya, tiada orang lain boleh hadir atas kapasiti pemohon…sekiranya pemohon kerap membuat permohonan pasport, ia akan meremeh dan memalukan tertuduh.”

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, pula membantah permohonan itu atas alasan mahkamah perlu mengambil kira faktor keseriusan dan hukuman diperuntukkan undang-undang bagi kesalahan dihadapi Lim, selain peluang tertuduh melarikan diri.

“Pemohon mempunyai peluang mengganggu saksi pendakwaan dengan kedudukannya sebagai ahli politik berpengaruh…sebab itu, jumlah jaminan tinggi dengan syarat ketat sepertimana dicadangkan penting untuk memberi peringatan kepada tertuduh agar tidak cenderung ke arah melakukannya.”

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10% keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikatnya dilantik untuk projek sama dekat Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.