Kerangka belanjawan mesti berpaksi realiti ekonomi, bukan hanya teori, kata Anwar

Kerangka belanjawan mesti berpaksi realiti ekonomi, bukan hanya teori, kata Anwar

Perdana menteri tekankan pengurusan cekap dan pembanterasan rasuah sebagai asas utama sebelum perluasan cukai atau pelaksanaan semula GST.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keadaan fiskal negara ketika ini berbeza dengan era 90an di mana pertumbuhan ekonomi negara mencecah sehingga 11%, membolehkan kerajaan mencapai bajet berimbang. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penyediaan kerangka belanjawan negara tidak boleh hanya berasaskan teori ekonomi, sebaliknya mesti berpaksikan realiti semasa dihadapi kerajaan termasuk kedudukan hutang, defisit dan hasil negara, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata keadaan fiskal negara ketika ini berbeza dengan keadaan masa lalu khususnya pada era 90an, yang mana pertumbuhan ekonomi negara mencecah sehingga 11%, membolehkan kerajaan mencapai bajet berimbang dan seterusnya lebihan fiskal dalam tempoh beberapa tahun.

“Sekarang keadaannya berbeza. Kita warisi hutang yang membengkak dan defisit yang tinggi,” katanya yang juga menteri kewangan.

“Jadi semua ini mesti diambil kira dahulu sebelum melakar satu kerangka belanjawan yang sesuai dengan tuntutan semasa,” katanya pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan.

Jumaat lalu, Anwar membentangkan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan sejumlah RM470 bilion dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Ia termasuk mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC sebanyak RM30 bilion, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan kanun persekutuan serta syarikat MKD (RM10.8 bilion).

Anwar berkata, keutamaan pentadbirannya sejak mengambil alih jawatan adalah memperkukuh tadbir urus dan membanteras ketirisan yang menurutnya sudah menjadi ‘sistemik’ dalam jentera kerajaan.

“Kalau kita nak bangunkan negara, belanja mesti bijak. Tapi kalau banyak ketirisan, banyak yang menyakau dan rasuah, apakah tidak lebih baik kita betulkan itu dahulu sebelum bercakap soal cukai baharu?” katanya.

Anwar mengimbas semula perbahasan di Parlimen ketika beliau menjadi ketua pembangkang dan menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atas dasar moral dan keadilan sosial, meskipun mengakui sistem itu telus dan efisien.

“Masalahnya ketika ini pendapatan rakyat masih rendah – RM1,500, RM2,000 atau RM3,000. Jadi secara moral, bolehkah kita cukai golongan paling miskin walaupun sistemnya baik? Bagi saya, belum ketikanya,” katanya.

Tambahnya, sebelum memperkenalkan sebarang dasar percukaian baharu, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan awam benar-benar sampai kepada sasaran dan tidak dibolosi sindiket haram atau penyeludupan yang menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Beliau turut mengingatkan banyak projek kerajaan dahulu gagal menepati nilai sebenar akibat amalan salah urus dan rasuah.

“Kalau tendernya RM1.8 bilion, adakah nilainya benar-benar RM1.8 bilion atau sebenarnya RM1.5 bilion sahaja? Ini yang mesti kita perbetulkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.