
Hadi (PN-Marang) berkata langkah itu pernah diusahakan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan supaya beralih daripada USD kepada dinar emas.
“Orang Islam boleh balik kepada dinar. Pernah diusahakan oleh (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad supaya Islam menggunakan dinar. Tak gunakan Dolar (USD) lagi.
“Kita harap kerajaan ini hidupkan semula. Tetapi malangnya kita nak (guna USD),” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya kepada Hadi sama ada beliau setuju agar Malaysia tidak perlu lagi menggunakan USD dan harus menjadi peneraju negara Islam.
Selain itu, Rosol juga meminta pandangan Hadi mengenai kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia dan menurutnya, gabungan pembangkang akan mengajak rakyat memperotes sekeras-kerasnya.
Timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut menyifatkan Trump sebagai ‘syaitan besar’ yang sering menipu dalam tindak tanduknya.
“Saya anggap tokoh ini (Trump) syaitan besar nak menipu. Apa lagi dukung sebuah kerajaan yang dilaknat oleh Allah.
“Oleh sebab itu saya akan tegaskan kami akan mengerah rakyat untuk memprotes dengan sekeras-kerasnya terhadap lawatan ini,” katanya.